Khamis, 12 April 2018 | 8:18pm
ATLET para negara, Muhamad Afiq Mohamad Ali Hanafiah (kanan) raih pingat gangsa dalam acara 100m T12 di Stadium Carrara hari ini. - Foto REUTERS

Afiq puas menang gangsa

 

GOLD COAST: Muhamad Afiq Mohamad Ali Hanafiah melakar sejarah di pentas Komanwel apabila menjadi atlet para kedua negara selepas Hisham Khaironi meraih perak di Manchester 2002 yang memenangi pingat dalam acara olahraga apabila meraih gangsa dalam acara 100m T12 di Stadium Carrara hari ini.

    Afiq mencatat 11.28s di belakang dua atlet Afrika Selatan Ndodomzi Ntutu dan Hilton Lagenhoven masing-masing emas dan perak dengan catatan 11.02s dan 11.27s.

   Terdahulu, pada aksi kelayakan Afiq memecahkan rekod kebangsaan dan catatan terbaik peribadi 11.20s untuk mara ke final.

   "Saya berpuas hati dengan pingat ini, berbaloi dengan pengorbanan yang saya lakukan selama ini," kata Afiq.

   "Bukan mudah dan  banyak masa diambil untuk sampai ke tahap ini dan saya gembira dapat menyumbang pingat untuk olahraga.

   "Kejayaan ini saya dedikasikan kepada keluarga yang banyak menyokong juga jurulatih (Adnan Md Ali) yang banyak membantu, membimbing dan memberi tunjuk ajar hingga sampai ke tahap sekarang. Tidak lupa rakyat Malaysia yang mendoakan kejayaan saya."

    Menurutnya lagi, dia tidak meletak sasaran untuk memenangi pingat apatah lagi di pentas sebesar Sukan Komanwel yang dianggapnya kejohanan peringkat tertinggi pernah disertainya.

   "Jurulatih hanya meletak sasaran ke final kerana tidak mahu saya tertekan, sebaliknya mahu saya menikmati perlumbaan," katanya.

    "Kejayaan memecah rekod kebangsaan pun sudah cukup membuatkan saya puas hati."

    Sementara itu atlet lompat kijang Muhammad Hakimi Ismail turut layak ke final manakala atlet lompat bergalah Iskandar Alwi kandas di saingan akhir. Atlet lempar cakera Muhammad Irfan Shamshuddin pula gagal melepasi aksi kelayakan.

666 dibaca
Berita Harian X