Jumaat, 13 April 2018 | 6:42pm
MAZLAN AHMAD

Dimanakah kewarasan lantik Stewart?

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Mazlan Ahmad menyifatkan kontroversi yang dicetuskan jurulatih lompat tinggi, Alex Stewart tidak pernah terjadi sekali gus membuktikan pemilihan jurulatih dari Australia itu tidak tepat.

"Semasa saya menjadi Ketua Pengarah MSN dahulu, tidak pernah berlaku seperti ini yang mana kami mengambil jurulatih luar negara yang bukan sepenuh masa.

"Dimanakah kewarasannya memilih jurulatih yang membimbing atlet dari dua negara berbeza. Perkara ini menimbulkan 'konflik kepentingan' dan membuktikan pemilihan jurulatih itu adalah tidak tepat," katanya ketika dihubungi NSTP di sini hari ini.

Stewart mencetuskan kontroversi ketika final lompat tinggi lelaki di Stadium Carrara kelmarin apabila dia yang juga jurulatih atlet Program Podium, Nauraj Singh Randhawa dilihat memeluk atlet Australia, Brandon Starc yang memenangi emas.

Jurulatih itu yang turut memakai pakaian rasmi kontinjen Malaysia turut menyerahkan bendera Australia kepada atlet terbabit.

Pemilihan jurulatih dari luar negara bukanlah perkara asing di negara ini dengan ramai jurulatih asing melatih atlet negara, namun kebanyakannya dilantik secara sepenuh masa di Malaysia.

Sukan berbasikal misalnya mendapatkan khidmat John Beasley dari Australia, namun jurulatih itu melatih pelumba negara secara sepenuh masa di Melbourne.

Ia berbeza dengan situasi Nauraj apabila Pengarah Podium, Tim Newenham mempertahankan tindakan Stewart dengan menegaskan jurulatih itu bukannya jurulatih sepenuh masa bagi Nauraj biarpun dia berlatih di Australia.

"Saya tidak faham mengapa perlu memilih jurulatih itu dan saya yakin ia bukanlah sebab nak menjimatkan kos sedangkan peruntukan untuk mendapatkan jurulatih yang lebih baik pastinya ada," katanya.

Mazlan yang sudah berkhidmat sebagai Ketua Pengarah MSN selama 12 tahun dan 22 tahun secara keseluruhan bersama agensi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu berkata, perkara ini dapat diperbaiki pada masa hadapan dengan melantik jurulatih sepenuh masa untuk melatih atlet negara.

"Apa yang membimbangkan kita adalah pada keadaan kritikal (semasa berlangsungnya temasya), pasti ia menimbulkan konflik antara jurulatih dengan dua atlet yang dibimbing dari dua negara berbeza.

"Kalau Australia tidak menang, mungkin perkara ini tidak timbul tetapi sekarang kita sudah nampak dengan jelas kelemahan yang ada," katanya.

1258 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »