Ahad, 15 April 2018 | 10:53pm
ATLET olahraga negara, Shereen Samson hanya mempunyai kira-kira empat bulan saja lagi bagi membuktikan dirinya mampu membuat penampilan sulung pada temasya Sukan Asia di Indonesia. - Foto Osman Adnan

Shereen perlu lari di bawah 54s

KUALA LUMPUR: Catatan masa yang lebih pantas dalam acara individu 400 meter (m) wanita perlu dicipta sekiranya berhasrat untuk mewakili negara ke temasya Sukan Asia di Indonesia pada Ogos ini.

Perkara itu diakui atlet olahraga negara, Shereen Samson Vellabouy, tatkala dia ketika ini sudah bebas daripada belenggu kecederaan.

Jelasnya, dia hanya mempunyai kira-kira empat bulan saja lagi bagi membuktikan dirinya mampu membuat penampilan sulung pada temasya berkenaan.

"Saya sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan hamstring yang dialami pada tahun lalu.

"Buat masa ini saya belum layak ke Sukan Asia tetapi saya akan cuba yang terbaik untuk berlari di bawah catatan masa 54 saat (s) dan saya cuba layak sebelum Julai," kata atlet berusia 20 tahun itu ketika dihubungi.

Pencapaian terbaik musim ini milik Shereen adalah 54.79s ketika dilakar di Kejohanan Olahraga Perak All Comers 2018 di Lumut, bulan lalu.

Pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Shereen antara watak yang membantu kuartet 4x400m gandingan Fatin Faqihah Mohd Yusof, Nurul Faizah Asma Mazlan dan Tanalaksiumy Maher Rayan untuk meraih gangsa dengan catatan 3:43.31s.

Sukan Asia di Jakarta dan Palembang dijadual berlangsung pada 18 Ogos hingga 2 September ini.

485 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »