Ahad, 13 Ogos 2017 | 10:59am
ROBIN Haase dari Belanda akur dengan kehebatan Roger Federer (kiri) pada saingan separuh akhir Piala Roger di Montreal, malam tadi. - Foto EPA/Andre Pichette

Federer mara final Montreal Masters

MONTREAL: Pilihan kedua dari Switzerland, Roger Federer menguasai servis permainan untuk melakar kemenangan 6-3 7-6 (5) ke atas lawan dari Belanda, Robin Haase dalam aksi separuh akhir Piala Rogers, di sini.

Haase yang beraksi buat kali pertama dalam separuh akhir Masters 1000 Jelajah Dunia ATP, memberi saingan menerusi tie break di set kedua tetapi Federer membuktikan kemampuannya apabila melakukan sembilan ace dan hanya tercicir sembilan mata servis.

Federer yang sedang memburu gelaran ketiganya di Piala Rogers sebelum menjuarainya di Toronto pada tahun 2004 dan 2006, dijadual bertemu pemain Jerman, Alexander Zverev yang menewaskan Denis Shapovalov dari Kanada 6-4, 7-5 pada aksi final nanti.

Federer, juara grand slam 19 kali, yang meraih lima gelaran tahun ini termasuk kejuaraan di Terbuka Australia dan Wimbledon berkata, mentaliti positif yang digunakan membantu dirinya untuk melanjutkan rekod kemenangannya kini kepada 16 perlawanan.

"Keyakinan boleh membawa kamu lebih jauh dan sekiranya fizikal berasa baik dan kamu sudah bersedia untuk bersaing secara mentaliti," kata Federer.

"Kemudian, satu-satunya perkara yang mungkin terlepas ialah latihan tetapi kadangkala latihan terlalu berlebihan. Ini semua mempunyai kaitan dengan perlawanan di sesuatu peringkat.

"Saya gembira apabila saya mampu bermain dengan baik pada tahun ini. Pada akhirnya, perkara itulah yang menjadi keutamaan kerana saya banyak menghabiskan banyak masa di gelanggang latihan tahun lalu." - Reuters

345 dibaca
Berita Harian X