Ahad, 13 Ogos 2017 | 7:18pm
DUTA 100Plus (dari kiri) Datuk Lee Chong Wei, Goh V Shem, Tan Wee Kiong, Chan Peng Soon, Goh Jin Wei dan Goh Liu Ying menerima hadiah penghargaan di Quill City Mall, hari ini.

Pemain China goyang - Chong Wei

KUALA LUMPUR: "Memang mereka (pemain China) sedikit goyang, tapi kita perlu fikirkan diri sendiri," kata Datuk Lee Chong Wei mengenai barisan pemain China ke Kejohanan Dunia kali ini tanpa Li Yongbo yang meletak jawatan selaku ketua jurulatih April lalu.

Menurut Chong Wei, ia berbeza dengan apa yang berlaku kepada dirinya dan skuad negara kerana berjaya mendapat semula sentuhan Datuk Misbun Sidek selaku ketua jurulatih perseorangan lelaki negara.

"Bagi diri saya sendiri memang ia satu kelebihan apabila memiliki semula Misbun untuk Kejohanan Dunia kali ini. Setidak-tidaknya saya mampu beraksi dengan lebih baik dan mempunyai keyakinan tinggi," katanya ketika ditemui media di Kejohanan Badminton Berpasukan Seluruh Malaysia 2017, hari ini.

Dia yang diletakkan selaku pilihan kedua, mengakui pasukan China ada sedikit terjejas selepas ketiadaan Li Yongbo namun sebagai pemain bertaraf antarabangsa dia tidak mahu memikirkan apa yang berlaku kepada negara lain.

"Jangan fikir orang lain, yang penting diri kita sendiri," katanya yang akan berangkat bersama pemain lain ke Glasgow Selasa ini.

Ditanya apakah yang dilakukannya sekarang tatkala Kejohanan Dunia semakin hampir dan undian juga sudah diketahui, bekas pemain nombor satu dunia itu berkata, dia tidak boleh melakukan apa-apa selain mendapat rehat yang cukup dan jaga pemakanan.

"Latihan kecergasan dan taktikal kita sudah bersedia dalam tempoh sebulan, sekarang perkara paling penting ialah fokus menjelang hari pertandingan," kata Chong Wei.

Pemain berusia 35 tahun itu berkata, walaupun skuad badminton negara ketika ini terbahagi kepada dua kumpulan, yang beraksi di Kejohanan Dunia dan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, namun mereka tetap bekerjasama antara satu sama lain.

"Kami bagaikan sebuah keluarga, baik Kejohanan Dunia mahupun Sukan SEA, kami tetap mengharapkan kedua-duanya mampu mencatat keputusan yang bagus," katanya.

6679 dibaca
Berita Harian X