Isnin, 11 September 2017 | 3:59pm
JURULATIH tenis Para ASEAN, Mohd Nadir Mohd Ashraf. - Foto Luqman Hakim Zubir

Para KL2017: Tenis kerusi roda mahu dominasi Para ASEAN

KUALA LUMPUR: Pasukan tenis kerusi roda negara berharap Malaysia mampu mendominasi acara berkenaan ketika Sukan Para ASEAN, Kuala Lumpur 2017 (Para KL2017).

Jurulatihnya Mohd Nadir Mohd Ashraf berkata pihaknya mensasarkan dua kutipan dua pingat emas daripada tiga yang dipertandingkan pada temasya kali ini.

Jelasnya dia yakin pemain mampu merealisasikan hasrat itu menerusi kategori perseorangan dan beregu.

"In Shaa Allah kami akan berusaha sedaya upaya untuk dua kategori iaitu Terbuka dan Quad dan kita berharap mendapat dua pingat emas daripada tiga yang dipertandingkan.

"Sebagai persiapan pemain kita mengharungi tiga kejohanan pemanas badan sebelum ini," kata Mohd Nadir pada sidang media Program Kita Juara Para ASEAN 2017 di Hotel Seri Pacific, hari ini.

Mengulas lanjut Mohd Nadir menyeru supaya rakyat Malaysia dapat hadir menyaksikan perlawanan kerana ia akan memberikan semangat buat atlet bertanding, apatah lagi pada aksi yang berlangsung di laman sendiri.

Kali terakhir Malaysia mengambil bahagian dalam tenis kerusi roda adalah di Sukan Para ASEAN Solo pada 2011 dengan pencapaian 1 emas, 1 perak dan 1 gangsa.

Tenis kerusi roda Para KL2017 dijadual berlangsung selama empat hari bermula dari 18 hingga 21 September dengan tiga pingat emas dipertandingkan.

61 dibaca
Berita Harian X