Isnin, 11 September 2017 | 4:07pm
PENGURUS pasukan tenis Para ASEAN, Lenny Supramaniam (dua dari kiri) bersama jurulatih, Mohd Nadir Mohd Ashraf (dua dari kanan), Abu Samah Borhan (kiri) dan Azman Hassan pada sidang media Program Kita Juara Para Asean di Kem Fasa Akhir Hotel Seri Pacific, sebentar tadi. - Foto Luqman Hakim Zubir

Para KL2017: Abu Samah sandaran emas tenis kerusi roda

KUALA LUMPUR: Pemain tenis kerusi roda negara, Abu Samah Borhan menyifatkan dirinya sudah serasi dengan permukaan baharu gelanggang menjelang Sukan Para ASEAN, Kuala Lumpur 2017 (Para KL2017).

Jelasnya peluang berlatih di venue sebenar pertandingan di Pusat Tenis Negara Jalan Duta, Kuala Lumpur memberikan manfaat sekali gus menjadi tonik tambahan buat dirinya.

"Untuk Sukan Para ASEAN ini, persediaan awal sudah dibuat beberapa bulan lalu selepas berakhirnya jelajah di Terbuka Korea dan Jepun. Apa yang saya perlukan sekarang adalah meningkatkan mutu permainan di tempat baharu.

"Sebelum ini kami berlatih di Kampung Pandan dan kini berlatih di Kompleks Tenis Jalan Duta dengan permukaan baharu, ia agak berbeza namun kami sudah dapat membiasakan diri dengan keadaan ini," kata Abu Samah pada sidang media Program Kita Juara Para ASEAN 2017 di Hotel Seri Pacific, hari ini.

Mengulas lanjut atlet berusia 32 tahun ini berkata dia hendak mendapatkan pingat emas dalam acara perseorangan memandangkan pencabar dari Thailand memiliki kekuatan yang hampir sama.

Abu Samah yang diletakkan selaku pemain pilihan kedua dalam edisi kali ini pernah memenangi pingat gangsa acara individu dan perak berpasukan di Sukan Para ASEAN Solo pada 2011.

Untuk rekod Abu Samah mula berkecimpung dalam sukan ini sejak tahun 2009 di bawah kendalian Majlis Sukan Negara (MSN) selepas mengalami kemalangan pada Jun 2006.

Ketika kemalangan 11 tahun lalu, dia mengalami kecederaan belakang dan berjinak-jinak dalam sukan itu selepas mendapat sokongan daripada isterinya, Norisah Bahrom yang juga atlet tenis kerusi roda.

103 dibaca
Berita Harian X