Isnin, 11 September 2017 | 6:21pm
MASALAH Goh V Shem (kanan) dan Tan Wee Kiong perlu diselesaikan dengan segera. - Foto Rosli Rahmat

'Pasti ada jalan penyelesaian'

KUALA LUMPUR: Pasti ada jalan penyelesaian, kata bekas pemain beregu lelaki negara, Lee Wan Wah mengenai situasi yang berlaku terhadap pasangan utama, Goh V Shem-Tan Wee Kiong selepas mengalami penurunan prestasi, termasuk tersingkir awal di Kejohanan Dunia di Glasgow.

Menurutnya, beliau tidak mengetahui masalah yang berlaku terhadap kedua-dua pemain itu secara mendalam kerana tidak berada di dalam Persatuan Badminton Malaysia (BAM), namun sebagai bekas pemain negara beliau mahu satu keputusan positif dicapai.

"Saya tidak dapat untuk memberi komen dengan lebih lanjut mengenai perkara ini, tapi akan ada jalan penyelesaiannya, termasuk kedua-dua pemain ini perlu duduk berbincang," katanya yang pernah beraksi di Sukan Olimpik Greece 2004 bersama Choong Tan Fook.

Jelasnya, perselisihan pendapat sering berlaku kepada pemain acara beregu di dalam sukan badminton, namun setiap yang berlaku ada jalan penyelesaian.

"Sukar untuk saya jelaskan apa yang berlaku tapi sebagai orang luar dan saya rasa peminat badminton juga mahu melihat mereka kembali memberikan prestasi terbaik. BAM juga saya rasa mampu melakukan keputusan terbaik mengenai perkara ini," kata Wan Wah.

Pada masa sama, Wan Wah juga merasakan BAM mampu melahirkan lebih ramai gandingan beregu lelaki yang mantap dan badan induk itu bertungkus-lumus untuk mencari formula terbaik, bukan hanya bergantung kepada satu atau dua pasangan saja.

"Hanya masa akan menentukan bila gandingan yang baik mampu dilahirkan. Saya yakin kita tidak ketandusan pemain berbakat terutama dalam acara beregu lelaki," katanya.

V Shem-Wee Kiong yang pernah menduduki ranking nombor satu dunia dan meraih perak di Sukan Olimpik Rio tahun lalu, mengalami penurunan prestasi sejak awal tahun ini.

Selepas meraih kejuaraan Siri Super Akhir di Dubai pada Disember tahun lalu, aksi mereka dilihat kurang konsisten termasuk tewas kepada lawan yang sama Li Junhui-Liu Yuchen dari China di suku akhir Seluruh England dan Terbuka India.

Mereka juga tersingkir di pusingan pertama Terbuka Malaysia dan Australia sebelum ke Glasgow.

443 dibaca
Berita Harian X