Selasa, 12 September 2017 | 2:43pm
PRESIDEN BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria (tengah) pada sidang media Cabaran Triatlon Iskandar Puteri 2017, sebentar tadi. - Foto BERNAMA

Pandangan peribadi Frost - Norza

KUALA LUMPUR: Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost Hansen tidak seharusnya membuat keputusan mendahului Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) berhubung masa depan beregu lelaki nombor satu negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong.

Seperti yang diputuskan ketika mesyuarat 'post mortem' mengenai prestasi pemain negara pada Kejohanan Dunia di Glasgow, Scotland dan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) yang dipengerusikan Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, minggu lalu, keputusan berkenaan hanya akan diketahui selepas mesyuarat C&T, Isnin ini.

Namun, Frost dilihat mendahului C&T apabila mengesahkan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu akan dipisahkan dan mahu digandingkan dengan pemain baharu.

Bagaimanapun, Norza berkata, apa yang dinyatakan Frost itu mungkin hanya pandangan peribadi selepas dia dan ketua jurulatih beregu lelaki, Cheah Soon Kit diberi tanggungjawab untuk mencari jalan penyelesaian dan membentangkannya kepada C&T.

"Seperti yang kita putuskan selepas mesyuarat 'post mortem' minggu lalu, Frost dan Soon Kit diberi tanggungjawab untuk melihat permasalahan ini dan mencari penyelesaian. Selepas itu mereka perlu bentangkan kepada C&T.

"Mungkin apa yang diperkatakan oleh Frost adalah apa yang difikirkannya secara peribadi tetapi keputusan muktamad sama V Shem-Wee Kiong dipisahkan atau sebaliknya hanya ditentukan oleh C&T," kata Norza ketika ditemui pada sidang media Cabaran Triatlon Iskandar Puteri 2017 di sini, hari ini.

Norza yang juga pengerusi C&T memberi jaminan tidak akan memandang mudah permasalahan yang sedang berlaku membabitkan V Shem-Wee Kiong dan berjanji sebarang keputusan yang dibuat nanti adalah selepas mengambil kira pandangan semua pihak.

"Saya mahu komitmen daripada semua termasuk pemain, jurulatih dan pengarah teknikal. Keputusan yang kita buat selepas C&T nanti adalah keputusan membabitkan semua pihak dan berdasarkan kajian menyeluruh sudah dilakukan sebelum keputusan dibuat," kata Norza.

2412 dibaca
Berita Harian X