Khamis, 21 September 2017 | 7:10pm
JAGUH perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei membalas pukulan pemain Indonesia, Tommy Sugiarto 22-20, 21-17 dalam aksi pusingan kedua sekali gus mara ke suku akhir Terbuka Jepun, sebentar tadi. - Foto AFP

Terbuka Jepun: Chong Wei mara ke suku akhir

KUALA LUMPUR: Jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei semakin kembali mendapat rentaknya apabila mara ke suku akhir Terbuka Jepun, sebentar tadi.

Tidak seperti semalam yang menyaksikan bekas pemain nombor satu dunia itu bergelut sebelum menewaskan pemain Hong Kong, Wong Wing Ki di pusingan pertama, Chong Wei hari ini tampil pada tahap prestasi terbaiknya.

Dia melakar kemenangan ke atas pemain Indonesia, Tommy Sugiarto 22-20, 21-17 dalam aksi pusingan kedua sekali gus akan bertemu pilihan keempat dari Taiwan, Chou Tien Chen untuk perebutan tempat ke separuh akhir, esok.

"Saingan kali ini adalah medan untuk saya mencari keyakinan semula. Sebenarnya saya belum capai tahap prestasi terbaik saya dan saya tahu saya boleh lakukan yang lebih baik lagi, namun apa yang paling penting adalah kemenangan.

"Saya akan fokus lagi untuk perlawanan seterusnya dan cari semula keyakinan saya," kata Chong Wei ketika dihubungi di Tokyo.

Tahap keyakinan pemain berusia 35 tahun itu menurun susulan kekalahan mengejutnya di tangan pemain Perancis, Brice Leverdez di pusingan pertama Kejohanan Dunia di Glasgow, Scotland bulan lalu.

Sementara itu, beregu lelaki negara, Teo Ei Yi-Ong Yew Sin turut cemerlang apabila mara ke suku akhir selepas menewaskan pasangan Taiwan, Lee Jhe Huei-Lee Yang 21-18, 21-12 dalam aksi pusingan kedua.

Mereka akan bertemu gandingan Jepun, Takuto Inoue-Yuki Kaneko esok.

Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi perseorangan wanita, Sonia Cheah dan beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie yang terkandas di pusingan kedua.

1990 dibaca
Berita Harian X