Jumaat, 13 Oktober 2017 | 12:06am
REAKSI sedih Caroline Wozniacki selepas terpaksa menarik diri daripada Terbuka Hong Kong akibat kecederaan. - Foto EPA

Wozniacki, Svitolina menangis tarik diri

HONG KONG: Juara bertahan Caroline Wozniacki dan pemain nombor empat dunia Elina Svitolina menarik diri daripada Terbuka Hong Kong berikutan kecederaan hari ini, hingga menyebabkan kejohanan Persatuan Tenis Wanita (WTA) itu kehilangan ramai nama besar akibat kecederaan.

Pilihan ketiga Wozniacki kelihatan menangis ketika tampil di gelanggang tengah pada perlawanan pusingan kedua menentang Lizette Cabrera apabila mengumumkan dia mengalami kecederaan siku ketika sesi latihan.

"Saya mahu meminta maaf kepada semua yang datang hari ini untuk menyaksikan perlawanan ini," kata Wozniacki yang memenangi gelaran di gelanggang sama 12 bulan lalu.

"Saya melakukan segala yang termampu untuk persediaan hari ini," katanya.

"Tapi malangnya, siku saya tercedera ketika sesi latihan dan tidak ada jalan lain buat saya hari ini.

"Malangnya saya perlu menarik diri daripada kejohanan ini," katanya yang menahan tangisan.

Terdahulu, pemain pilihan utama Svitolina menarik diri daripada perlawanan 16 terakhir menentang Nicole Gibbs berikutan kecederaan pinggul kanan ketika perlawanan suku akhir selama 3 jam 21 minit di Beijing minggu lalu kepada juara, Caroline Garcia.

"Saya mengalami kecederaan itu di Beijing," katanya. - AFP

421 dibaca
Berita Harian X