Isnin, 13 November 2017 | 9:04am
PEMAIN Amerika Syarikat dari kiri; Coco Vandeweghe, Alison Riske, captain Kathy Rinaldi, Shelby Rogers dan Sloane Stephens pada sidang media selepas mengungguli Piala Fed di Arena Chizhovka, hari ini. - Foto EPA-EFE

Tenis: AS julang Piala Fed ke-18

MINSK (Belarus): Amerika Syarikat (AS) menjulang Piala Fed buat kali pertama dalam tempoh 17 tahun, menerusi kejayaan gandingan beregu, Shelby Rogers dan CoCo Vandeweghe yang menang di penentuan final, awal pagi tadi.

Vandeweghe dan Rogers menang 6-3, 7-6 (7/3) ke atas gandingan Belarus, Aryna Sabalenka dan Aliaksandra Sasnovich, sekali gus memberikan AS kemenangan 3-2, serta mahkota ke-18 Piala Fed.


KETUA pasukan Amerika Syarikat, Kathy Rinaldi puji aksi empat pemain. - Foto EPA-EFE

"Saya amat teruja untuk kesemua empat pemain kami," kata kapten AS, Kathy Rinaldi.

"CoCo (Vandeweghe) keluar dan menampilkan permainan yang menakjubkan. Shelby (Rogers) juga bangkit. Sloane (Stephens)...saya juga kecewa seperti dirinya, tetapi dia banyak bergelut pada minggu ini, dia bertarung sehingga ke penghujung.

"Saya amat berbangga dengan keempat-empat mereka."

Sebelum itu, Vandeweghe meletakkan AS mendahului 2-1, selepas menewaskan Sabalenka 7-6 (7/5), 6-1, tetapi Sasnovich bangkit daripada ketinggalan satu set untuk menewaskan Sloane Stephens, 4-6, 6-1, 8-6 sekali gus menyamakan kedudukan 2-2 untuk Belarus.

Pada aksi terakhir, Sabalenka, 19, dan Sasnovich, 23, melepaskan servis mereka pada set pertama untuk memberikan kelebihan kepada gandingan AS selepas 26 minit bertarung.

Gandingan Belarus itu begitupun bangkit untuk mematikan servis Vandeweghe dan Rogers pada set kedua dan mendahului 5-2, tetapi pasukan pelawat merampas kembali servis mereka dua kali untuk menyamakan kedudukan 5-5.

Ketika detik genting, Sabalenka dan Sasnovich sekali lagi mematikan servis Rogers, tetapi gandingan AS itu tidak mengalah di sebalik suasana tegang di Minsk dengan ribuan peminat tuan rumah menantikan kejayaan pertama Belarus untuk memenangi Piala Fed.

Sabalenka kemudian sekali lagi menggugurkan set yang membawa kepada penentuan tie-break, sebelum gandingan lebih berpengalaman dari AS meraih kemenangan.

"Saya tahu, jika saya terus memberikan peluang dan meletakkan diri saya di depan dalam setiap servisnya, saya akan terus memperoleh peluang dan dia akhirnya melepaskan servis," kata Vandeweghe.

"Dia melakukan apa yang sepatutnya dilakukan dan seperti apa yang saya jangka, dia akan menghayunkan raket dan berdoa supaya bola itu masuk, dan dia melakukannya.

"Jadi, kamu hanya perlu memulihkan diri (di dalam gelanggang) dan terus berjuang." - AFP

120 dibaca
Berita Harian X