Selasa, 14 November 2017 | 10:29am
RAFAEL Nadal meninggalkan gelanggang selepas tewas kepada pemain Belgium, David Goffin pada saingan ATP Final di London. - Foto EPA-EFE

Tenis: Nadal tarik diri selepas tewas

LONDON: Rafael Nadal menarik diri daripada Pusingan Akhir ATP awal pagi tadi, mengakui dia gagal menangani masalah kecergasan selepas tumpas tiga set kepada David Goffin dalam satu perlawanan menarik.

Pemain nombor satu dunia itu bekerja keras namun dikejutkan 7-6 (7/5), 6-7 (4/7), 6-4 oleh Goffin pada perlawanan pembukaan kejohanan penamat musim itu, yang mana dia tidak pernah muncul juara.


REAKSI pemain Belgium, David Goffin selepas berjaya menewaskan Rafael Nadal pada saingan ATP Final di London. - Foto Reuters

Bintang Sepanyol itu hadir pada kejohanan itu dengan keraguan menyelubungi tahap kecergasannya selepas menarik diri daripada Masters Paris kerana kecederaan lutut.

Awalnya dia tidak menunjukkan tanda terjejas pada perlawanan round robin itu namun akhirnya kecederaan itu memaksanya mengakui musimnya sudah berakhir.

"Saya terpaksa menarik diri," kata Nadal. "Musim saya sudah berakhir. Ya, saya mempunyai komitmen dengan kejohanan ini, bandar raya ini dan diri sendiri. Saya sudah mencuba. Saya melakukan apa yang sepatutnya untuk cuba bersedia. Tapi hakikatnya saya tidak bersedia untuk bermain."

Nadal berkata, dia akan bekerja keras untuk bersedia bagi permulaan musim depan.

"Saya tahu apa yang harus dilakukan," katanya.

"Saya tahu semua perkara yang berlaku sebelum ini apabila saya berdepan situasi ini dan saya tahu apa rawatan yang diperlukan."

Nadal, 31, bergelut untuk menemui sentuhannya pada awal saingan sekalipun menerima sorakan semangat daripada penonton dan menyaksikan servisnya dirampas dua kali pada set pertama oleh pilihan ketujuh dari Belgium itu, yang tumpas dua pertembungan terdahulu.

"Ia perlawanan yang sengit hingga ke akhirnya," akui Goffin yang jelas lega.

"Rafa seorang pemain yang mempunyai mental kuat dalam jelajah. Saya amat gembira akhirnya menemui cara untuk memenangi perlawanan ini. Sesuatu yang istimewa untuk melakukannya di sini."

Dalam satu lagi aksi Kumpulan Pete Sampras, Grigor Dimitrov mengatasi Dominic Thiem 6-3, 5-7, 7-5. - AFP

522 dibaca
Berita Harian X