Selasa, 14 November 2017 | 11:04am
PEMAIN badminton para negara, Madzlan Saibon optimis untuk muncul juara acara perseorangan lelaki kategori WH2 pada Kejohanan Badminton Para Dunia di Incheon, Korea Selatan, minggu depan.

Madzlan buru juara dunia

KUALA LUMPUR: Selepas meraih tujuh pingat emas pada Sukan Para ASEAN, Madzlan Saibon kini optimis untuk muncul juara acara perseorangan lelaki kategori WH2 pada Kejohanan Badminton Para Dunia di Incheon, Korea Selatan, minggu depan.

Juruteknik di Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan (PLPP) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bangi itu kini semakin bersemangat untuk merampas gelaran juara dunia selepas namanya sekali lagi disenaraikan sebagai atlet elit di bawah Program Podium seperti diumumkan Institut Sukan Negara (ISN) minggu lalu.

Madzlan yang menang dua pingat emas dalam acara perseorangan dan beregu pada Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 (ParaKL2017) juga menyasarkan untuk meraih emas pada Sukan Para Asia 2018.

Bagaimanapun, Madzlan berkata, dia perlu bersiap sedia untuk menghadapi saingan pemain China, Hong Kong dan tuan rumah Korea Selatan.

"Saya kini lebih bersedia untuk menghadapi saingan pemain dari negara lain selepas muncul naib juara acara perseorangan lelaki kategori WH2 pada Kejohanan Badminton Para Antarabangsa di Amerika Syarikat bulan lalu.

"Tambahan pula, saya pernah muncul naib juara dunia dua kali dalam acara perseorangan lelaki WH2 pada 2009 dan 2011.

"Justeru, saya harap dapat menebus kehampaan itu dengan muncul juara kali ini," katanya.

Dalam pada itu, Madzlan berkata, dia perlu muncul juara pada Kejohanan Badminton Para Dunia 2017 bagi membolehkannya mengekalkan momentum sebelum beraksi pada Sukan Para Asia tahun depan.

Madzlan juga menyimpan hasrat untuk bersaing pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

171 dibaca
Berita Harian X