Rabu, 15 November 2017 | 11:11am
PEMENANG Piala Davis dari Republik Czech, Radek Stepanek umum bersara selepas gagal pulih daripada kecederaan belakang.

Tenis: Pemenang Piala Davis, Stepanek bersara

PRAGUE: Pemenang Piala Davis dari Republik Czech, Radek Stepanek mengumumkan persaraannya daripada sukan tenis semalam selepas gagal memulihkan kecergasannya berikutan pembedahan belakang awal tahun ini, lapor media Czech.

Stepanek, 38, menang lima gelaran perseorangan Jelajah ATP dan layak ke suku akhir Wimbledon pada 2006 apabila dia mencatat ranking tertinggi dalam kariernya di tangga kelapan.

Setahun kemudian kecederaan belakang menjejaskan kariernya namun Stepanek bangkit dan memenangi dua gelaran beregu Grand Slam bersama pemain India, Leander Paes pada Terbuka Australia 2012 dan Terbuka AS 2013.

Di samping Tomas Berdych, Stepanek juga sebahagian daripada pasukan Piala Davis yang muncul juara pada 2012 dan 2013.

Stepanek berharap untuk membuat kemunculan semula selepas menjalani pembedahan belakang namun impian itu tidak dapat direalisasikan.

"Saya perlu realistik. Saya berjuang hingga ke nafas terakhir tapi sudah tiba masanya untuk membuat perkara lain," kata Stepanek yang dipetik dalam laman sesawang www.idnes.cz. - Reuters

119 dibaca
Berita Harian X