Rabu, 15 November 2017 | 11:31am
PEMAIN Switzerland, Roger Federer (kanan) bersalaman dengan pemain muda Jerman, Alexander Zverev selepas tamat perlawanan pada saingan Pusingan Akhir Jelajah ATP di London. - Foto AFP

Tenis: Federer tundukkan Zverev, layak separuh akhir

LONDON: Roger Federer menundukkan pemain muda berbakat besar Jerman, Alexander Zverev dalam pertemuan sengit sebentar tadi untuk menempah tiket ke separuh akhir pada Pusingan Akhir Jelajah ATP.

Pemain nombor dua dunia itu dipaksa bekerja keras oleh Zverev yang cukup bersemangat sebelum menang 7-6 (8/6), 5-7, 6-1 di hadapan ribuan peminatnya dan menjadi pemain pertama memperoleh tiket ke peringkat empat terbaik di Arena O2.

"Ia perlawanan yang bagus dan saya sentiasa menikmati permainan di arena yang cantik ini," kata Federer yang sudah 14 kali melangkah ke separuh akhir kejohanan penamat musim itu.

"Saya cukup gembira bermain di London dan saya mencapai banyak kejayaan di sini. Terima kasih kepada anda kerana malam yang istimewa ini.

"Saya gembira dan lega kerana saya boleh bermain dengan bebas menentang (Marin) Cilic berbanding daripada menjadi pencetus ketegangan.

"Ia kumpulan yang sukar jadi untuk melepasi dua perlawanan ini adalah hebat."

Federer, 36, dan Zverev sudah bertemu empat kali dan masing-masing menang dua kali.

Tahun ini, Federer menundukkan pemain Jerman itu di Halle namun Zverev menang pada Piala Rogers di Montreal.

Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan Boris Becker, Jack Sock mengukuhkan impiannya untuk menamatkan musim penuh bergaya selepas menewaskan naib juara Wimbledon, Marin Cilic 5-7, 6-2, 7-6 (7/4). - AFP

233 dibaca
Berita Harian X