Selasa, 5 Disember 2017 | 9:52pm
KETUA Pegawai Eksekutif MISB Resources Sdn Bhd, Syed Hidzir Syed Agil (kiri) bersama perjanjian pelantikan duta produk Heat Tone, Muhammad Hafiz Hashim di Plaza Damas. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Hafiz Hashim gantung raket

KUALA LUMPUR: Bekas juara badminton Seluruh England, Hafiz Hashim akhirnya mengumumkan secara rasmi menggantung raket dan akan menumpukan perhatian sebagai jurulatih sepenuh masa.

Hafiz yang muncul juara Seluruh England pada 2003 berkata, keputusan itu ada yang terbaik buatnya selepas meninggalkan acara perseorangan lelaki sejak lima tahun lalu dan kali terakhir mengambil bahagian di peringkat antarabangsa bagi beregu lelaki ialah di Masters China, April lalu.

"Kalau hendak diikutkan, saya sudah berhenti bermain dalam acara perseorangan lelaki sejak lima tahun lalu dan saya rasa hari ini adalah masa tepat untuk mengumumkan persaraan sepenuhnya dalam menyertai acara sukan badminton," katanya selepas dilantik menjadi duta produk Heat Tone (Nona Roguy), hari ini.

Jelas Hafiz, tumpuannya selepas ini lebih terarah kepada karier sebagai jurulatih sepenuh masa dan terkini, dia mendapat tawaran daripada Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ).

"Memang agak sukar, sebab selepas menjalani pembedahan tumit (pada 2012), saya cuba untuk bangkit semula dalam perseorangan lelaki, namun ia kelihatan agak sukar. Saya tetap mahu bermain badminton dan cuba beraksi dalam acara beregu lelaki tapi gagal melangkah jauh.

"Kekurangan latihan dan faktor umur mungkin menjadi halangan dan saya umum untuk menjadi jurulatih sepenuh masa saja," kata pemain kelahiran Kota Baru, Kelantan itu.

Ditanya mengenai tawaran jurulatih di SSBJ, Hafiz yang berusia 35 tahun mengakui ada menerima tawaran berkenaan.

"Saya sudah mengadakan temuduga bersama jurulatih SSBJ, Kwan Yoke Meng dan selepas ini akan bertemu Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria dan Pengurus Besar, Michelle Chai untuk perbincangan lebih lanjut mengenai tawaran berkenaan," kata Hafiz.

Selain gelaran Seluruh England, Hafiz pernah menggondol kejuaraan Terbuka Switzerland (2005), Terbuka Belanda (2005), Terbuka Thailand (2005) dan Terbuka Filipina (2006).

Hafiz juga pernah meraih emas perseorangan lelaki Sukan Komanwel Manchester 2002, berpasukan campuran Sukan Komanwel New Delhi 2010 dan berpasukan lelaki Sukan SEA Manila 2005.

Pada 2002, dia membantu Malaysia melangkah ke final Piala Thomas di Guanzhou, namun skuad negara sekadar berpuas hati selaku naib juara apabila tumpas 2-3 kepada Indonesia.

3179 dibaca
Berita Harian X