Rabu, 6 Disember 2017 | 8:35pm
PEMAIN perseorangan badminton Malaysia, Lee Zii Jia terkejut selepas dicalon sebagai Pemain Harapan BWF. - Foto Aizuddin Saad

Zii Jia terkejut dicalon Pemain Harapan BWF

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia langsung tidak menyedari namanya dicalonkan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) bagi anugerah Pemain Harapan BWF, hari ini.

Nama pemain berusia 19 tahun itu disenaraikan selepas memenangi gelaran Antarabangsa Poland dan mara ke separuh akhir tiga kejohanan berstatus Grand Prix (GP) Emas Terbuka Bitburger, Thailand dan Taiwan Masters tahun ini.

Selain pemain kelahiran Kedah itu, pemain perseorangan wanita China, Chen Yufei, pemain perseorangan wanita Indonesia, Gregoria Mariska Tunjung, pemain beregu wanita Indonesia, Apriyani Rahayu dan pemain beregu lelaki India, Satwiksairaj Rankireddy turut dicalon.

Zii Jia ketika dihubungi berkata: "Saya benar-benar terkejut. Saya langsung tidak mengetahui perkara ini. Jadi, sudah tentu saya bangga.

"Tahun ini cabarannya bukan mudah dan saya tidak mahu menerima segala pujian kerana saya mengenali diri saya sendiri, dan percaya saya boleh melakukan lebih baik.

"Saya beraksi dengan baik di tiga kejohanan GP Emas tetapi juga mensia-siakan beberapa peluang dalam beberapa kejohanan lebih rendah. Saya harap lebih konsisten tahun depan."

Ketika ditanya sama ada dia akan ke Dubai bagi menghadiri Makan Malam Gala BWF, minggu depan sempena Siri Super Final Dunia, Zii Jia berkata: "Ketika ini, saya masih belum pasti.

"Malah, saya langsung tidak mengetahui mengenai anugerah ini jika kamu tidak bertanya kepada saya. Ia akan bergantung kepada BAM (Persatuan Badminton Malaysia)."

Tumpuan utama malam anugerah berkenaan pastinya terarah kepada anugerah Pemain Lelaki dan Wanita Terbaik BWF di mana pemain Denmark yang juga juara dunia, Viktor Axelsen dan jaguh Taiwan, Tai Tzu Ying dilihat sebagai calon pilihan.

Selepas mencapai sasaran peribadi melangkah ke kelompok 50 terbaik dunia pada penghujung tahun ini, Zii Jia terpaksa berehat selepas mengalami kecederaan otot, bulan lalu.

Pemain perseorangan lelaki nombor dua negara itu kini berharap untuk tampil lebih bertenaga tahun depan bermula dengan kejohanan Thailand Masters atau Malaysia, bulan depan.

Zii Jia juga dikatakan antara pemain pilihan untuk membuat penampilan sulung di Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia, April depan dan Piala Thomas di Bangkok, Thailand pada Mei.

974 dibaca
Berita Harian X