Khamis, 11 Januari 2018 | 1:02am
JURULATIH pemain remaja negara, Muhammad Hafiz Hashim (tengah) memantau sesi latihan pemain di Akademi Badminton Negara. - Foto Saifullizan Tamadi

Bekas pemain teruja kongsi pengalaman dengan pemain remaja

KUALA LUMPUR: Bekas pemain kebangsaan, Hafiz Hashim dan Amelia Alicia Anscelly mengakui teruja untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman mereka dengan pemain muda selepas dilantik menjadi jurulatih badminton Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ).

Hafiz, juara Seluruh England 2003 dilantik bagi membimbing pemain perseorangan lelaki Tingkatan 4 dan 5 manakala pemenang pingat emas Sukan SEA acara beregu wanita, Amelia diberi peranan melatih pemain beregu.

Mereka bersama Lutfi Zaim Khalid dan bekas pemain Singapura, Waheeda Abdullah antara empat jurulatih baharu yang memulakan tugas sejak minggu lalu bagi membantu meningkatkan prestasi pemain remaja negara.

"Kedudukan saya sebagai jurulatih hanya disahkan lewat bulan lalu, sebelum itu membimbing pemain di akademi badminton saya sendiri. Kini saya tinggalkan akademi itu kepada adik saya untuk menjaganya.

"Ini cabaran baharu buat saya dan saya teruja untuk bekerja dengan pemain remaja. Menjadi jurulatih di akademi dan SSBJ," kata Hafiz ketika ditemui selepas perhimpunan bulanan SSBJ bersama Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria di Akademi Badminton Malaysia di sini, hari ini.

Hafiz, 36, turut menetapkan sasaran untuk meletakkan Malaysia kekal sebagai pencabar utama gelaran juara pada Kejohanan Remaja Dunia.

Sementara itu, Amelia yang bersara sebagai pemain tahun lalu percaya beliau membuat keputusan tepat apabila memilih untuk menjadi jurulatih.

"Pada awalnya saya terfikir untuk menjadi pemain profesional tapi untuk menjadi pemain di luar BAM, ia sesuatu yang sukar. Lagipun, saya mungkin tidak mempunyai kesungguhan tinggi untuk mencapai tahap terbaik sebagai pemain profesional.

"Saya memutuskan menjadi jurulatih kerana saya mahu menyumbangkan sesuatu kepada negara. Saya mahu kongsi semua yang saya belajar ketika bergelar pemain," kata Amelia.

498 dibaca
Berita Harian X