Khamis, 11 Januari 2018 | 8:53pm
Pemain squash negara, Datuk Nicol Ann David terpaksa akur pulang awal selepas tewas kepada Nour El Tayeb di Riyadh, semalam. - Foto Luqman Hakim Zubir

Nicol tersingkir di skuasy Masters Arab Saudi

KUALA LUMPUR: Perjalanan ratu skuasy negara, Datuk Nicol David di kejohanan Masters Wanita Arab Saudi berakhir di peringkat suku akhir selepas tewas kepada Nour El Tayeb di Riyadh, semalam.

Pemain kelahiran Mesir, Nour menang dalam pertarungan tiga set, 11-7, 14-12, 11-9 yang juga kemenangan sulungnya ke atas Nicol dalam 10 pertemuan sebelum ini.

Kemenangan itu meletakkan Nour ke kelompok empat terakhir bersama rakan senegaranya, Nour El Sherbini, Raneem El Weleily dan Nouran Gohar dalam aksi separuh akhir yang semuanya menemukan pemain dari Mesir.

Kekalahan itu juga menyaksikan Nicol yang kini menghuni ranking nombor enam dunia sekali lagi dinafikan tempat ke peringkat separuh akhir Siri Jelajah PSA (Persatuan Skuasy Profesional) sejak Terbuka British pada Mac tahun lalu.

"Saya kehilangan kata-kata. Ini kali pertama saya meraih kemenangan ke atas legenda sukan ini," kata Nour yang menduduki ranking tujuh dunia.

"Tiada kata-kata untuk menggambarkan Nicol. Dia adalah alasan mengapa perlawanan hari ini menjadi kenyataan. Saya amat bangga."

Kegagalan Nicol yang juga pemenang lapan kali gelaran dunia untuk menyempurnakan tiga mata akhir pada set kedua ketika sedang mendahului 10-8 dan 12-11 dilihat menjadi titik tolak kekalahannya pada perlawanan itu.

Selepas ini, Nicol akan mengharungi aksi Kejohanan Juara-Juara yang dijadual bermula di New York pada 20 Januari ini.

278 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »