Khamis, 11 Januari 2018 | 10:46pm
PEMAIN tenis Jerman, Angelique Kerber membalas pukulan pemain Slovakia, Dominika Cibulkova di suku akhir Kejohanan Tenis Antarabangsa, Sydney, sebentar tadi. - Foto EPA-EFE

Angelique terus garang di Sydney

SYDNEY: Pemain Jerman, Angelique Kerber meraih kemenangan ketujuh berturut-turut untuk memastikan pentas separuh akhir saingan Antarabangsa Sydney selepas membenam Dominika Cibulkova dari Slovakia, 6-3, 6-1.

Kejayaan itu nyata membangkitkan keyakinan bekas pemain nombor satu dunia itu sebelum menyertai Terbuka Australia.

Di separuh akhir, Angelique akan menentang pemain ke 100 dunia, Camila Giorgi, yang mengejutkan bekas pemain nombor dua dunia dari Poland, Agnieszka Radwanska 6-1, 6-2.

Kemenangan itu menghadirkan permulaan cemerlang buat Angelique untuk tahun 2018.

"Sudah pasti ia permulaan tahun 2018 yang baik. Saya masih cuba fokus dalam setiap perlawanan dan cuba mempelajari sesuatu daripadanya.

"Beraksi di separuh akhir begitu mengujakan terutamanya apabila kamu memiliki sasaran. Saya memerlukan lebih banyak perlawanan sebelum ke Melbourne," kata Angelique. -AFP

139 dibaca
Berita Harian X