Jumaat, 12 Januari 2018 | 4:29pm
PEMAIN Sepanyol, Pablo Carreno Busta ungguli kejohanan Klasik Kooyong selepas menewaskan Matthew Ebden. - Foto AFP

Tenis: Carreno Busta julang kejuaraan Kooyong

MELBOURNE: Pablo Carreno Busta berjaya menamatkan aksi sebelum hujan untuk melengkapkan persiapan ke Terbuka Australia dengan kemenangan 6-7 (6/8), 6-4, 6-2 ke atas Matthew Ebden pada final kejohanan Klasik Kooyong, hari ini.

Carreno Busta, pemain kedua Sepanyol memenangi kejohanan itu susulan dua kejuaraan Fernando Verdasco, menafikan kebangkitan pemain tuan rumah Ebden, pemain ranking ke-76 dunia.

Ebden, yang tidak bermain separuh musim 2016 kerana kecederaan lutut, menghabiskan musim lalu dalam siri bawahan Challenger dan memulakan aksi Terbuka Australia menentang pilihan ke-16, John Isner.

Pilihan ke-10 Carreno Busta berdepan seorang lagi pemain Australia, Jason Kubler di Melbourne Park.

Perlawanan akhir di gelanggang lama Terbuka Australia itu berlangsung dalam cuaca mendung dan panas berbahang manakala hujan datang dari arah barat.

Ia berakhir sebaik gerimis mula turun dan majlis penyampaian trofi diadakan dengan pemain dan pegawai dipayungkan.

"Perlawanan ini sukar, saya terpaksa bangkit daripada kekalahan set pertama," kata Carreno Busta. "Tapi ia amat membantu saya bagi Terbuka Australia.

"Ia persediaan sempurna bagi acara Grand Slam. Saya berasa amat selesa di gelanggang ini. Kami berdepan beberapa malang dengan hujan, kini kami tidak sabar menanti Terbuka Australia." - AFP

69 dibaca
Berita Harian X