Sabtu, 13 Januari 2018 | 1:12pm
ROGER Federer (kanan) hadir bersama hero filem 'Spiderman' pada Hari Tenis Kanak-kanak di Melbourne Park, sebentar tadi. - Foto EPA

Federer akui ancaman Kyrgios

MELBOURNE: Juara bertahan Roger Federer, melihat pemain panas baran Australia, Nick Kyrgios sebagai ancaman pada Terbuka Australia - jika dia boleh terus kekal fokus.

Juara 19 kali Grand Slam itu yang akan tampil dari musim 2017 yang menakjubkan apabila menang dua Grand Slam, akan menentang pemain keletihan ketika Grand Slam pertama tahun ini bermula di Melbourne Park, Isnin ini dengan Andy Murray dan Kei Nishikori tidak turut serta kerana cedera.

Pencabar lamanya, Rafael Nadal dan Novak Djokovic juga bergelut dalam kejohanan sebelum ini yang mungkin membuka pintu buat barisan pemain digelar 'NextGen.'

Kyrgios ialah antara pemain berada dalam prestasi terbaik, menang di Kejohanan Antarabangsa Brisbane minggu lalu, menewaskan seorang lagi pemain muda, Grigor Dimitrov.


PEMAIN Australia, Nick Kyrgios dilihat sebagai ancaman kepada Roger Federer pada Terbuka Australia. REUTERS

Federer berkata, kejayaan terbaharu pemain itu memang disedari.

"Dia (Kyrgios) sudah melalui apa yang perlu dilaluinya," kata pemain legenda Switzerland itu kepada akhbar Herald Sun, hari ini.

"Tetapi jika dia berada pada tahap terbaik, dia memang sukar ditewaskan.

"Tampak seperti dia melakukan perkara yang betul, jika tidak pasti dia tidak akan menang kejohanan terutama di Brisbane kerana dia mesti berupaya menahan tekanan di laman sendiri yang bukan sesuatu yang mudah."

Ketika pemain 22 tahun dari Australia yang diletakkan sebagai pilihan ke-17 itu memiliki bakat yang hebat, dia sering mempersiakan kemampuannya dengan gelagat panas baran ditujukan kepada pengadil dan penyokong. - AFP

251 dibaca
Berita Harian X