Khamis, 25 Januari 2018 | 9:40pm
BEREGU campuran Malaysia, Goh Soon Huat dan Shevon Lai (kiri) akan bertembung dengan rakan sepasukan, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing buat kali ketiga berturut-turut di suku akhir Indonesia Masters, esok. - Foto Luqman Hakim Zubir

Peluang Soon Huat-Shevon cipta hatrik

KUALA LUMPUR: Beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai berada di landasan tepat untuk menewaskan rakan sepasukan, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing buat kali ketiga berturut-turut apabila kedua-duanya bertembung di suku akhir Indonesia Masters, esok.

Soon Huat-Shevon mara ke kelompok lapan terbaik selepas mencatat kemenangan 21-17, 21-15 ke atas beregu Korea Selatan, Choi Sol Gyu-Chae Yoo Jung, manakala Kian Meng-Pei Jing menyingkirkan gandingan tuan rumah, Rinov Rivaldy-Angelica Wiratama 21-18, 21-12, hari ini.

Minggu lalu, Soon Huat-Shevon yang menduduki ranking ke-13 mengecewakan Kian Meng-Pei Jing yang berada di ranking 11 pada suku akhir Malaysia Masters dan Terbuka Korea, September lalu.

"Nasib menentukan kami bertemu semula Kian Meng-Pei Jing. Apa yang boleh saya katakan, siapa yang peraga aksi terbaik akan keluar sebagai pemenang," kata Shevon ketika dihubungi.

Mengulas mengenai peningkatan prestasi mereka, Shevon berkata: "Kami sudah membuat persiapan sejak bulan lalu untuk menghadapi musim baharu. Saya fikir ia banyak membantu kami.

"Selain daripada memperkemaskan lagi permainan, kami juga berusaha gigih meningkatkan kemampuan kami di gelanggang. Ia sesuatu yang bagus apabila usaha kami berbaloi.

"Sudah tentu, kami tidak boleh berpuas hati kerana kami akan bertemu lawan yang lebih sukar di masa akan datang."

Sementara itu, dalam pusingan kedua perseorangan wanita, bekas juara remaja dunia, Goh Jin Wei gagal menandingi pemain nombor tiga dunia dari India, P.V.Sindhu apabila tewas 12-21, 9-21 kepada pemenang perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu.

Dalam beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong meneruskan rentak kemenangan apabila menewaskan pasangan Taiwan, Lee Jhe Huei-Lee Yang 21-15, 16-21, 21-13.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu dijadual bertemu juara dunia dari China, Liu Cheng-Zhang Nan untuk merebut slot ke separuh akhir.

Namun, hajat menyaksikan Chooi Kah Ming-Low Juan Shen turut mara tidak kesampaian apabila tewas 21-11, 21-17 kepada pilihan keempat dari Denmark, Mads Conrad Petersen-Mads Pieler Kolding.

1742 dibaca
Berita Harian X