Sabtu, 10 March 2018 | 9:04pm
PRESIDEN BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria bangga dengan prestasi gandingan beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai di Terbuka Jerman. - Foto Eizairi Shamsudin

Norza puas hati prestasi Soon Huat-Shevon

 

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria ternyata bangga dengan prestasi dipamerkan gandingan beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai pada Terbuka Jerman, awal pagi tadi.  

Soon Huat Shevon bukan saja mara ke separuh akhir malah berjaya mengekalkan rentak kemenangan ke atas pasangan negara jiran, Dechapol Puavaranokroh-Sapsiree Tearattanahcai apabila menang 21-14, 18-21, 23-21. 

"Saya sangat gembira dengan pencapaian yang memberangsangkan dari Soon Huat-Shevon terutama menjelang Seluruh England dan Sukan Komanwel," katanya ketika dihubungi hari ini.  

Jelas Norza keputusan memilih Soon Huat-Shevon berbanding Tan Kian Meng-Lai Pei Jing ke Sukan Komanwel di Gold Coast bulan depan adalah satu tindakan tepat.  

Ini adalah kali ketiga berturut-turut selepas tiga pertemuan Soon Huat-Shevon mencatat kemenangan ke atas Dechapol-Sapsiree dan menanti mereka di separuh akhir ialah pilihan kelapan dari Korea Selatan, Choi Solgyu-Chae Yoo Jung.  

Solgyu-Yoo Jung sebelum itu mencatat kemenangan 21-13, 21-15 ke atas Marcus Ellis-Lauren Smith dari England.  

Turut mara ke separuh akhir ialah pasangan beregu lelaki utama negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong yang memperoleh kemenangan percuma ketika mendahului 21-19, 13-7 apabila gandingan Denmark, Mads Conrad Petersen-Mads Pieler Kolding atas faktor kecederaan.  

Menanti mereka di separuh akhir ialah pilihan keenam dari Jepun, Takuto Inoue-Yuki Kaneko. 

721 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »