Ahad, 11 March 2018 | 11:43am
COREY CONNERS

Conners sekat kemaraan Woods

MIAMI: Aura Tiger Woods menyebabkan penonton bersorak namun pendatang baru Corey Conners bertahan untuk mendahului satu pukulan berbanding bekas pemain nombor satu dunia itu selepas tiga pusingan di Kejuaraan Valspar.

Woods, yang beraksi dalam kejohanan keempat Jelajah PGA Amerika Syarikat sejak kembali Januari lalu daripada pembedahan belakang April tahun lalu, mencatat empat di bawah par 67 yang membolehkannya berkongsi kedudukan kedua dengan bekas juara Terbuka AS Justin Rose dari England dan pemain AS Brandt Snedeker.

Mereka kini mengejar Conners yang melakukan 68 pukulan untuk 204 pukulan keseluruhan dan mengekalkan kedudukan pendahulu sejak pusingan pertama.

Namun Woods sekali lagi menjadi perhatian dan selepas beberapa tahun berdepan kecederaan, dia memberikan kepada peminat apa yang mereka mahu saksikan.

"Suasananya sungguh menakjubkan," kata Woods mengenai kelompok besar yang mengekorinya.

"Mereka benar-benar berminat, ia sungguh menakjubkan."

"Saya bermain untuk kekal dalam saingan jadi ia wajar lebih menyeronokkan Ahad ini," kata juara kejohanan utama 14 kali yang memburu gelaran Jelajah PGA AS ke-80.

Pemain berusia 42 tahun yang bercakap mengenai permainan dengan 'tubuh baru' selepas pembedahan itu membuat hayunan terpantas di lapangan itu.

Woods tidak pernah berada dalam posisi sebaik ini sejak berkongsi tangga ke-10 di Kejohanan Wyndham pada Ogos 2015 dan masih belum menjulang trofi sejak Kejohanan Jemputan Bridgestone WGC pada 2013.

"Saya cuba bertenang seawal mungkin dan mujur dapat bermula dengan baik dan menyesuaikan diri dengan mudah. Saya membuat pukulan mantap sepanjang pusingan itu," kata pendahulu saingan itu, Conners. - AFP

240 dibaca
Berita Harian X