Ahad, 11 March 2018 | 12:59pm
SERENA WILLIAMS

Serena, Venus bertarung lagi

INDIAN WELLS, Amerika Syarikat: Serena Williams terus melangkah sejak kembali menyertai kejohanan dengan kemenangan 7-6(5) 7-5 ke atas Kiki Bertens di Terbuka BNP Paribas hari ini, dan akan bertemu kakaknya Venus di pusingan ketiga.

Serena yang kembali menyertai sukan itu selepas berehat lebih daripada setahun untuk melahirkan anak, ada ketikanya bergelut namun mengerah sepenuh tenaganya untuk menewaskan pilihan ke-29 dari Belanda di Indian Wells, Califonia.

"Dia bermula dengan penuh kekuatan," kata Serena yang juga juara grand slam 23 kali ketika diwawancara.

"Saya terfikir untuk meneruskan permainan dan lakukan yang terbaik. Saya gembira berada di luar sana. Semuanya menjadi bonus."

Venus mara ke pusingan ketiga dengan menewaskan pemain Romania Sorana Cirstea 6-3 6-4 dalam satu lagi perlawanan.

Ia bakal menjadi pertemuan terawal buat kedua-dua beradik sejak aksi profesional pertama mereka pada pusingan kedua Terbuka Australia 1998. Perlawanan Selasa ini bakal menjadi yang ke-29 di antara mereka di mana Serena memenangi rekod pertemuan mereka 17-11.

Venus berkata adiknya seolah-olah tidak meninggalkan gelanggang sepanjang tempoh rehatnya itu.

"Dia tidak kelihatan canggung di gelanggang," kata Venus.

Turut mara ke pusingan ketiga adalah juara bertahan Elena Vesnina, yang menewaskan pemain AS Catherine Bellis 2-6 6-1 6-1. - Reuters

280 dibaca
Berita Harian X