Ahad, 11 March 2018 | 10:25pm
SOON Huat-Shevon menewaskan Niclas Nohr-Sara Thygesen 21-14, 22-20. 

Soon Huat-Shevon julang Terbuka Jerman

KUALA LUMPUR: Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie kembali merampas status beregu badminton campuran nombor satu negara selepas menjulang trofi Terbuka Jerman di Mulheim, sebentar tadi. 

Selepas hilang status kepada rakan sepasukan, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing pada bulan lalu, beregu kebangsaan itu gah menumbangkan pasangan Denmark, Niclas Nohr-Sara Thygesen di pentas final dengan kemenangan 21-14, 22-20. 

Beregu yang diletakkan harapan memburu pingat emas di Sukan Komanwel Gold Coast itu menepati ramalan selepas memulakan kejohanan selaku pilihan ketiga. 

Pada 2016, pasangan beregu di ranking ke-10 itu menjuarai Cabaran Antarabangsa Malaysia dan Terbuka Scotland di Glasgow.

Kemenangan kali ini dilihat sebagai pencetus semangat terbaik buat kem negara yang bakal meneruskan cabaran di Seluruh England di Birmingham, minggu ini. 

Walaupun ranking mereka lebih rendah berbanding Tan Kian Meng-Lai Pei Jing (kesembilan dunia), ranking Soon Huat-Shevon dijangka akan berubah apabila Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mengemaskini senarai ranking pada Khamis ini. 

Soon Huat-Shevon yang digabungkan pada 2016, meraih hadiah wang tunai AS$11,850 (RM46,400), manakala pasangan Denmark menerima AS$5,700 (RM22,300).

Kejayaan itu sepatutnya lebih manis jika beregu lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong juga dapat melangkah ke final.

Malangnya, pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2016 itu tumbang kepada Takuto Inoue-Yuki Kaneko dari Jepun dengan keputusan 21-17, 18-21, 21-19 di peringkat separuh akhir, semalam.

 

2190 dibaca
Berita Harian X