Isnin, 12 March 2018 | 5:24pm
JAGUH perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei mahu menikmati setiap perlawanan di Seluruh England. - Foto Eizairi Shamsudin

Chong Wei akui misi sukar di Seluruh England

KUALA LUMPUR: Jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei meramalkan bakal menempuh cabaran sukar dalam misinya mempertahankan gelaran juara Seluruh England yang akan membuka tirai saingannya, Rabu ini. 

Pemain nombor dua dunia itu berpeluang mencipta sejarah menjadi pemain Malaysia yang paling banyak menjuarai kejohanan berprestij itu dan sekiranya berjaya muncul juara pada edisi kali ini, ia adalah kejuaraan kelima selepas menjulangnya pada 2010, 2011, 2014 dan 2017. 

Bagaimanapun, Chong Wei, 36, berkata dia tidak terlalu memikirkan untuk mencipta rekod, sebaliknya menegaskan apa yang lebih penting persiapan menghadapi setiap lawannya dalam kejohanan tertua itu. 

"Setiap pemain pasti mahu menang dalam setiap kejohanan disertai dan saya tahu kalau saya menang kali ini saya akan menjadi pemain Malaysia yang paling banyak menang Seluruh England. 

"Namun, saya tidak terlalu fikir sangat kerana apa yang paling penting adalah keadaan dan persiapan saya. Saya mahu menikmati setiap perlawanan di Seluruh England. 

"Pada tahap sekarang, saya gembira dengan keadaan saya kerana walaupun sudah berusia 36 tahun tetapi masih berada di atas gelanggang dan berjuang demi Malaysia," kata Chong Wei yang akan menentang pemain Brazil, Ygor Coelho pada aksi pusingan pertama. 

Selepas menjuarai edisi tahun lalu, Chong Wei berjaya menyamai rekod Wong Peng Soon dan Datuk Eddy Choong merangkul kejuaraan perseorangan lelaki dalam saingan Seluruh England sebanyak empat kali. 

Bagaimanapun, jaguh negara itu dijangka berdepan halangan sukar dalam usaha mara ke final. 

Jika melepasi pusingan pertama, dia dijangka bertemu pemain Denmark, Jan O Jorgensen sebelum musuh tradisi, Lin Dan dari China menantinya di suku akhir. 

Ditanya sama ada situasi itu memberi tekanan kepada dirinya dalam misi merangkul gelaran kelima sekali gus muncul pemain Malaysia terbanyak menjuarai Seluruh England, Chong Wei berkata dia menganggapnya sebagai motivasi buat dirinya. 

"Ada orang tanya sama ada saya tertekan atau tidak, bagi saya ia perkara biasa. Saya lebih suka menganggap tekanan itu sebagai cabaran dan motivasi. Apapun keputusannya nanti saya terima. 

"Seperti yang saya beritahu sebelum ini, saya lebih fokus kepada Sukan Komanwel (Gold Coast, Australia), Piala Thomas (Bangkok, Thailand) dan Sukan Asia (Jakarta, Indonesia)."

1178 dibaca
Berita Harian X