Sabtu, 24 March 2018 | 1:31pm
NAOMI Osaka (kiri) bersalaman dengan pemain Ukraine, Elina Svitolina di Crandon Park. - FOTO US TODAY

Svitolina akhiri rentak cemerlang Osaka

MIAMI: Pemburuan kejuaraan berganda "Sunshine Double" Naomi Osaka di Indian Wells dan Terbuka Miami tidak kesampaian apabila tewas kepada Elina Svitolina di Florida.

Bintang meningkat naik dari Jepun, Osaka mara ke pusingan kedua bertemu pilihan keempat dari Ukraine, Svitolina dengan rekod lapan kemenangan berturut-turut termasuk kempen kejuaraan di Indian Wells dan menewaskan juara grand slam 23 kali Serena Williams di pusingan pertama.

Namun kehebatan servis Svitolina yang menjelmakan 80 peratus daripada mata dalam kemenangan 6-4, 6-2 itu, menamatkan cabaran Osaka dalam tempoh satu jam 23 minit.

"Selepas Indian Wells, dia begitu yakin," kata Svitolina. "Ia amat mencabar. Saya gembira dengan cara saya menangani perlawanan ini dan cara saya bermain."

Osaka pula menafikan dia sedikit terjejas secara mental, tetapi bergelut dengan masalah kesihatan yang menyebabkan dia muntah sebelum perlawanan berkenaan.

"Saya tidak rasa ia betul untuk menarik diri begitu saya, terutama selepas bermain dengan seseorang seperti Serena. Jika anda tidak bermain pada perlawanan seterusnya, saya rasa itu sesuatu yang tidak betul."

Svitolina akan berdepan pemain Australia Daria Gavrilova yang menewaskan Andrea Petkovic. - AFP

551 dibaca
Berita Harian X