Ahad, 15 April 2018 | 3:49pm
BEREGU wanita negara, Vivian Hoo (kiri) dan Chow Mei Kuan bmengabadikan kenangan bersama penyokong selepas memenangi pingat emas pada final badminton wanita di Carrara Stadium, Komanwel Gold Coast 2018. - Foto Yazit Razali

Pasangan bidan terjun julang Malaysia

GOLD COAST: Pasangan yang baru disatukan, Chow Mei Kuan-Vivian Hoo menghadiahkan emas ketujuh dan yang terpenting buat kontinjen negara di Sukan Komanwel sekali gus menyaksikan Malaysia melepasi sasaran ditetapkan dengan membawa pulang tujuh emas, lima perak dan 12 gangsa.  

Tidak diletakkan sebagai beregu pilihan, Mei Kuan-Vivian mengikuti jejak langkah Datuk Lee Chong Wei yang sebelum itu meraih emas dalam acara perseorangan lelaki, dengan menewaskan beregu pilihan dari England, Lauren Smith-Sarah Walker  21-12, 21-12 dalam tempoh 42 minit di Kompleks Sukan Carrara.  

Mei Kuan terpilih pada saat akhir menggantikan tempat Woon Khe Wei yang bergelut dengan kecederaan lutut ketika menyertai Kejohanan Berpasukan Asia pada Februari lalu dan dia hanya beraksi satu kejohanan bersama Vivian sebelum ke Gold Coast.  

"Kami dapat menangani tekanan dengan baik hari ini. Mei Kuan dan saya bermain dengan tenang membolehkan kami dapat bertahan dengan baik," kata Vivian.  

"Saya bangga dengan Mei Kuan. Ini adalah kejohanan terbesar pertama untuk dia. Saya kagum dengan cara dia mengawal tekanan. 

"Sudah tentu dia melakukan kesilapan di awal pertandingan ini namun permainannya semakin baik dari satu perlawanan ke satu perlawanan dan berharap dia dapat belajar sesuatu daripada pengalaman ini," kata Vivian.  

Mengulas mengenai kejayaan Malaysia melepasi sasaran emas yang ditetapkan, Vivian berkata: "Saya gembira dapat meraih emas ketujuh negara.  

"Biarpun badminton gagal mencapai apa yang disasarkan, setiap pemain sudah melakukan yang terbaik. Saya berharap peminat sukan ini akan terus menyokong kami," katanya yang turut meraih emas ketika berpasangan bersama Khe Wei di Komanwel Glasgow pada 2014.  

Sementara itu, Mei Kuan berkata: "Banyak yang saya pelajari daripada senior saya di sini. Emas ini bagaikan mimpi ketika saya tidak menyangka akan terpilih menyertai skuad badminton negara.  

"Vivian berkata kepada saya, selagi saya melakukan yang terbaik keputusan itu pasti datang. Saya menggunakan nasihatnya sebagai sumber motivasi dalam kejohanan ini," kata Mei Kuan.

4264 dibaca
Berita Harian X