Ahad, 15 April 2018 | 6:27pm
PRESIDEN BAM, Datuk Seri Norza Zakaria memuji persembahan Chong Wei dan beregu wanita yang menyumbangkan pingat emas biarpun sukan itu gagal menepati sasaran yang ditetapkan. - Foto Owee Ah Chun

Perasaan Norza bercampur baur 

GOLD COAST: Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Norza Zakaria memuji persembahan Datuk Lee Chong Wei dan beregu wanita, Chow Mei Kuan-Vivian Hoo yang menyumbangkan pingat emas sekali gus membantu kontinjen negara melepasi sasaran di Sukan Komanwel.  

Bagaimanapun, Norza meluahkan kekecewaan dengan prestasi beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie yang gagal menyerlah meskipun dua beregu itu diletakkan sebagai pilihan dalam acara masing-masing. 

Malaysia mengatasi pencapaian keseluruhan di Glasgow 2014 (6-7-6) apabila meraih jumlah keseluruhan tujuh emas, lima perak dan 12 gangsa dengan badminton menjadi penyelamat pada hari terakhir biarpun sukan itu gagal menepati sasaran yang ditetapkan iaitu membawa pulang tiga emas.  

Skuad badminton menyumbang dua emas, satu perak dan dua gangsa.  

"Kami gagal mencapai sasaran tapi sukan ini membantu melepasi sasaran keseluruhan," kata Norza.  

"Chong Wei dan Mei Kuan-Vivian beraksi dengan tekanan namun berjaya mengatasinya.


PERSORANGAN lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei berjaya memenangi pingat emas pada aksi final pada Sukan Komanwel Gold Coast 2018. - Foto Yazit Razali

"Chong Wei adalah pemain yang tidak pernah mengecewakan kami dan dia menjadi contoh terbaik buat Mei Kuan-Vivian ketika mereka tidak diletakkan sebagai pilihan.

"Bagaimanapun, saya kecewa dengan V Shem-Wee Kiong dan Soon Huat-Shevon. Prestasi Soon Huat-Shevon tidak menentu sejak Seluruh England dan mereka perlu melakukan sesuatu untuk memperbaiki segala kelemahan.  

"Dua pasangan beregu campuran kita Soon Huat-Shevon dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying sebenarnya antara beregu yang memberi tekanan kepada pasukan lawan tapi mereka tidak beraksi dengan baik manakala V Shem-Wee Kiong pula terlalu yakin.

"Saya akan mengadakan mesyuarat jawatankuasa kejurulatihan dan latihan apabila pulang ke tanah air dan kami akan kaji apa yang perlu ditambah baik lagi.  

"Satu lagi emas sepatutnya hadir dalam acara berpasukan. Bagaimanapun, India sebagai pasukan pilihan beraksi dengan baik. Ini adalah gambaran yang memperlihatkan bagaimana mereka semakin berkembang."

3212 dibaca
Berita Harian X