Ahad, 15 April 2018 | 10:28pm
PEMAIN perseorangan lelaki negara, Cheam June Wei memenangi gelaran senior pertamanya di Terbuka Belanda hari ini. - Foto Hairul Anuar Rahim

June Wei menang gelaran senior pertama

 

KUALA LUMPUR: Percubaan kali ketiga membuahkan hasil buat pemain badminton perseorangan lelaki negara, Cheam June Wei yang memenangi gelaran senior pertamanya di Terbuka Belanda hari ini - selepas kali ketiga mara ke final tahun ini.

Pemain 21 tahun itu mempamerkan prestasi terbaiknya ketika bangkit daripada ketinggalan satu set untuk menewaskan pemain Poland Adrian Dziolko 13-21, 21-13, 21-10.

Kemenangan itu menebus kehampaan June Wei yang tewas kepada rakan sepasukan Leong Jun Hao di final Terbuka Finland minggu lalu.

Pada Februari, June Wei tewas straight set kepada pemain India P Kashyap di final Terbuka Austria.

"Saya amat gembira memenangi gelaran pertama di peringkat senior, tetapi ini hanya permulaan. Masih banyak cabaran untuk saya harungi selepas ini," kata June Wei.

"Saya perlu kekal fokus dan sentiasa dahagakan kejayaan."

Jurulatih perseorangan lelaki negara, Indra Wijaya tidak menolak kemungkinan untuk June Wei menyertai skuad Piala Thomas Mei ini.

"Ia belum diputuskan tetapi saya percaya ia masih terbuka untuk sesiapa. Apabila kami kembali ke Malaysia, semua jurulatih perseorangan lelaki (Hendrawan dan Sairul Amar Ayob) akan berbincang dengan ketua jurulatih Misbun Sidek sebelum membuat keputusan. Banyak aspek positif yang perlu diambil kira.

"Apa yang boleh saya katakan ialah saya amat gembira dengan persembahan June Wei dan Jun Hao sepanjang dua kejohanan di Eropah ini (Terbuka Finland dan Belanda)," kata Indra.

Sementara itu M Thinaah hampir menghadiahkan kejuaraan berganda buat negara tetapi perseorangan wanita itu tewas 17-21, 21-15, 21-11 kepada pilihan utama Julia Dawall Jakobsen dari Denmark pada aksi final.

"Saya tahu saya bermain dengan baik, tetapi ia belum mencukupi. Saya akan perbaiki kelemahan saya dan tidak akan berputus asa.

"Peluang untuk menyertai skuad Piala Uber masih terbuka, saya akan bersaing mendapatkannya," kata Thinaah yang memenangi Cabaran Antarabangsa Iran Februari lalu.

2086 dibaca
Berita Harian X