Isnin, 16 April 2018 | 9:32pm
PEMAIN beregu lelaki, Mohd Arif Abdul Latif (kanan) dan Nur Mohd Azriyn Ayub akan bertemu pasangan dari Hong Kong di pusingan pertama Cabaran Antarabangsa Malaysia, esok. - Foto Eizairi Shamsudin

Arif-Azriyn idam kejut juara dunia

 

KUALA LUMPUR: Pemain beregu lelaki profesional, Arif Latif mengakui laluan di Cabaran Antarabangsa Malaysia yang bermula esok dilihat sangat berliku termasuk bakal berdepan bekas juara dunia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan di suku akhir.

Menurut bekas pemain perseorangan lelaki negara itu, aksi kedua di peringkat antarabangsa bersama Azriyn Ayub dilihat lebih mencabar berbanding di Cabaran Antarabangsa Osaka awal bulan ini yang menyaksikan mereka berjaya muncul naib juara.

"Ini adalah aksi kedua peringkat antarabangsa buat saya dan Azriyn. Cabaran Antarabangsa sangat mencabar bermula dari pusingan pertama lagi kami terpaksa berdepan lawan yang sukar," katanya hari ini.

Arif-Azriyn akan bertemu ranking ke-40 dunia dari Hong Kong, Or Chin Chung-Tang Chun Man di pusingan pertama dan berkemungkinan berdepan pilihan keempat dari Jepun, Hiroki Okamura-Masayuki Onodera di pusingan kedua.

"Saya berharap dapat melakukan kejutan ke atas Ahsan-Hendra jika bertemu mereka di suku akhir ataupun mampu memberikan tentangan sengit kepada mereka. 

"Setakat ini apa yang dapat kami lihat kelemahan paling ketara ialah daripada segi kecergasan. Mungkin daripada segi kekuatan juga kami harus pertingkatkan," katanya yang dijangka melapor diri menyertai Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bersama Azriyn pada 23 April ini (Isnin minggu depan).

Cabaran Antarabangsa Malaysia boleh dilihat sebagai medan buat beberapa pasanga beregu lelaki untuk memburu tempat ke Piala Thomas bulan depan.

Ia turut menampilkan naib juara Cabaran Antarabangsa Vietnam, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, naib juara Malaysia Masters 2016 Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, naib juara Orleans Masters, Shia Chun Kang-Tan Wee Gieen dan pilihan kedua kejohanan, Chooi Kah Ming-Low Juan Shen.

 

1853 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »