Selasa, 17 April 2018 | 5:29pm
PRESIDEN BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, memberi masa tiga bulan untuk jurulatih dan pemain kembali bangkit pada landasan terbaik. - Foto Saifullizan Tamadi

Beri masa hingga Ogos - Norza

 

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria masih berpegang pada janji untuk memberi tempoh tiga bulan kepada pemain negara termasuk skuad perseorangan lelaki walaupun ada pihak yang menggesa supaya melakukan 'proses pemutihan'.

Menurutnya, seperti dimaklumkan sebaik berakhirnya Seluruh England bulan lalu, jurulatih dan pemain diberi masa tiga bulan untuk kembali bangkit pada landasan terbaik.

"Saya ada bercakap dengan ketua jurulatih perseorangan lelaki, Datuk Misbun Sidek sebelum ini bahawa tempoh tiga bulan adalah jangka masa yang sesuai diberikan kepada pemain termasuk perseorangan lelaki," katanya ketika dihubungi hari ini.

Jelasnya, BAM juga sudah mengumumkan sebelum ini bahawa mereka akan melakukan proses menggugur dan membawa masuk pemain pada Februari serta Ogos.

"Kalau kita lihat sekarang ini sudah April, jadi masa yang sesuai untuk melakukan proses pemutihan adalah pada Julai ataupun Ogos. Lagipun Misbun masih belum membuat kata putus mengenai pemain perseorangan yang akan beraksi di Piala Thomas bulan depan.

"Kita juga akan melakukan 'post mortem' mengenai aksi pemain negara di Sukan Komanwel Gold Coast dalam mesyuarat kejurulatihan dan latihan (C&T) minggu depan (atau hujung bulan), mungkin ketika itu mengumumkan senarai pemain ke Piala Thomas dan Uber," katanya.

Semalam seorang bekas pemain kebangsaan yang enggan namanya didedahkan, menggesa BAM melakukan 'proses pemutihan' dengan menggugurkan pemain perseorangan lelaki yang boleh dianggap liabiliti dalam kem negara. 

Berdasarkan peningkatan mendadak ditunjukkan negara lain dalam acara utama itu, beliau berkata, BAM tidak boleh membuang masa dengan terus memberi peluang kepada pemain yang gagal mencapai prestasi diharapkan. 

Tanpa berselindung beliau berkata, pemain seperti Soo Teck Zhi, Soong Joo Ven, Chong Yee Han dan Lim Chi Wing wajar digugurkan kerana sehingga sekarang masih bergelut untuk menyerlah di pentas antarabangsa. 

770 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »