Ahad, 13 Ogos 2017 | 6:49am

Pencarum KWSP turut kongsi untung PLUS

BEBERAPA hari lalu, tertera di muka depan ruangan Bisnes akhbar ini tajuk berita "KWSP tak rancang jual pegangan PLUS".

Laporan itu merujuk kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Datuk Shahril Ridza Ridzuan yang mengulas laporan minat Maju Holdings Sdn Bhd, syarikat dikuasai Tan Sri Abu Sahid Mohamad untuk membeli PLUS Malaysia Bhd daripada KWSP dan UEM Group.

Shahril menegaskan KWSP tidak ada rancangan menjual pegangannya kerana pelaburan dalam pengendali lebuhraya bertol itu memberikan pulangan lumayan. KWSP memiliki 49 peratus saham PLUS manakala 51 peratus lagi oleh UEM Group. Sebagai pencarum KWSP dan pengguna lebuhraya PLUS, saya menyokong pendirian Shahril itu.

Malah jika berdaya maju, saya mahu KWSP mengembangkan pelaburannya dalam perniagaan lebuhraya dengan membeli syarikat pemegang konsesi lain. Bukan apa, jika lebuhraya itu KWSP punya, saya akan rasa lebih rela membayar tol kerana tahu akan turut berkongsi untung yang diraih pengendalinya melalui dividen yang dibayar KWSP.

Dalam hal ini, mereka yang memutuskan supaya KWSP dan UEM mengambil alih PLUS ini memang patut dipuji kerana ia seperti memulangkan semula keutungan diraih syarikat itu daripada kutipan tol kepada rakyat dan bukan semata-mata dikaut sesuatu golongan sahaja. Bagi yang mungkin tidak tahu, UEM Group adalah syarikat milik penuh sayap pelaburan kerajaan, Khazanah Nasional Bhd. Sebenarnya, selain KWSP, Permodalan Nasional Bhd (PNB) yang mengendalikan pelaburan hampir separuh rakyat negara ini menerusi pelbagai unit saham amanahnya juga mempunyai pelaburan besar dalam perniagaan lebuhraya.

Syarikat milik penuhnya, Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) adalah pemegang konsesi kedua terbesar selepas PLUS dengan tumpuan kepada lebuhraya di kawasan Lembah Klang. Ia kini mengendalikan empat lebuhraya dan sedang membina dua yang lain.

Justeru, jika keuntungan PLUS dikongsi bersama pencarum KWSP, untung Prolintas pula turut dinikmati pelabur unit saham amanah PNB. Baru-baru ini Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin pula mengumumkan persetujuan Kabinet untuk melancarkan Program Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) 2.0.

Berbanding yang sedia ada, KR1M baharu ini difahamkan akan dikendalikan koperasi. Jika benar, langkah itu bakal menjadi satu lagi inisiatif memulangkan semula keuntungan kepada rakyat. Sudah pastinya kerajaan mempunyai rancangan supaya golongan pelanggan sasar KR1M 2.0 berpeluang menjadi ahli koperasi yang bakal dipertanggungjawabkan mengendalikan rangkaian kedai berkenaan.

Jika ini dilakukan, walaupun KR1M mengambil sedikit untung, tetapi ia akan dikembalikan kepada pelanggan yang juga ahli koperasi menerusi bayaran dividen.

Berita Harian X