Jumaat, 14 April 2017 | 12:02am
TINJAUAN punca pencemaran air sungai di sekitar Sungai Batang Kali. - Foto Zulfadhli Zulkifli

Tiada lagi sebarau di Sungai Batang Kali

HULU SELANGOR: Sungai Batang Kali yang dulunya menjadi tempat mandi-manda bagi penduduk kampung, terutama kanak-kanak, kini tidak lagi menjadi tumpuan berikutan pencemaran yang dikesan berlaku di sungai itu.

Malah, penduduk kampung mendakwa mengalami gatal-gatal yang membengkak jika digaru dan spesies ikan seperti sebarau, haruan, baung, talapia, ketam dan udang di sungai berkenaan tidak lagi kelihatan akibat kotoran domestik.

Tinjauan BH mendapati pelbagai sampah-sarap dan kekotoran domestik dialirkan ke sungai itu, termasuk air basuhan, najis dan bulu ayam oleh pengusaha pasar berdekatan.

Begitu juga pengusaha restoran di Pekan Baru Batang Kali melepaskan air basuhan pinggan mangkuk, bahan masakan dan sisa makanan ke longkang utama yang terus dialirkan ke sungai berkenaan.

Terdapat pengusaha kolam ternakan ikan di tepi sungai berkenaan yang dikatakan membuang air kolam mereka ke sungai apabila menuai hasil tangkapan.


- Foto Zulfadhli Zulkifli

TINJAUAN punca pencemaran air sungai di sekitar Sungai Batang Kali. - Foto NSTP/Zulfadhli Zulkifli

Perbuatan itu juga menyebabkan pencemaran ke atas air sungai berkenaan kerana tidak diketahui bahan makanan yang digunakan bagi penternakan mereka.

Pemeriksaan di tebing sungai berkenaan, tiada kolam takungan sementara atau pusat rawatan air kumbahan, sebelum dilepaskan ke sungai.

Seorang penduduk, Zolkufli Hamzah, berkata tiga tahun lalu, air Sungai Batang Kali amat jernih dan dalam, menjadi persinggahan kaki pancing untuk mencuba nasib.

"Tetapi hari ini, tiada lagi kelihatan pemancing di sini. Untuk melihat ikan bersaiz besar di sungai ini pun sukar kerana keadaan airnya yang kotor.

"Ada juga seorang dua datang memancing haruan atau sebarau tetapi pulang hampa," katanya kepada BH Plus.

Hulu Sungai Batang Kali terletak di Genting Highlands dan melalui Ulu Rening, Kampung Kuantan, Kampung Sungai Masin, Kampung Genting Malek, Kampung Sekolah serta beberapa taman perumahan sebelum sampai ke pekan lama Batang Kali.


SPESIES ikan seperti sebarau, haruan, baung, talapia, ketam dan udang di sungai berkenaan tidak lagi kelihatan akibat kotoran domestik. - Foto Zulfadhli Zulkifli

Sungai ini kemudian bercantum dengan Sungai Liam dari Hulu Yam Lama dan bersambung dengan Sungai Selangor yang mengalir hingga ke Bukit Beruntung.

Sungai Batang Kali itu turut menjadi persinggahan kanak-kanak di kampung serta taman perumahan berdekatan bermandi manda. Namun, kebelakangan ini amat berkurangan kanak-kanak bermandi manda kerana mereka mendakwa kulit rasa gatal.

Zolkufli berkata, beliau juga mengalami nasib yang sama tiga tahun lalu, ketika menggunakan air sungai berkenaan untuk membersih kekotoran rumahnya ketika banjir besar melanda Batang Kali.

"Saya ingat rasa gatal itu berpunca daripada rumput yang terdapat di tebing sungai. Namun, ketika mencelup tangan dan kaki ke dalam air, kulit berasa gatal, apabila digaru membengkak serta kemerahan.

"Saya terpaksa ke klinik berhampiran bagi mendapatkan rawatan, suntikan dan ubat. Hampir dua minggu saya menderita, sebelum pulih sepenuhnya," katanya.

Justeru, beliau meminta Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor datang mengambil sampel air untuk dianalisis dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk tindakan lanjut.


PELBAGAI sampah-sarap dan kekotoran domestik dialirkan ke sungai itu, termasuk air basuhan, najis dan bulu ayam oleh pengusaha pasar berdekatan.- Foto Zulfadhli Zulkifli

INFO

  • Hulu Sungai Batang Kali terletak di Genting Highlands dan melalui Ulu Rening, Kampung Kuantan, Kampung Sungai Masin, Kampung Genting Malek, Kampung Sekolah serta beberapa taman perumahan sebelum sampai ke pekan lama Batang Kali.

  • Sungai ini kemudian bercantum dengan Sungai Liam dari Hulu Yam Lama dan bersambung dengan Sungai Selangor yang mengalir hingga ke Bukit Beruntung.
  • Berita Harian X