Ahad, 18 Jun 2017 | 12:07am

Izara Aishah hati-hati pilih pakaian elak kontroversi

KUALA LUMPUR: Pengalaman mematangkan Izara Aishah untuk tidak terus larut dalam kontroversi. Cukup segala yang berlalu dan Izara kini lebih berhati-hati kerana enggan kesilapan lalu berulang kembali.

Pertengahan bulan lalu, gadis berusia 24 tahun ini dikecam ramai gara-gara rakaman video yang melihatkan dirinya berpakaian seksi ketika menghadiri acara fesyen tersebar di laman maya. Akur akan kesilapannya, Izara pantas bertindak dengan membuat permohonan maaf menerusi Instagram peribadinya.

Menyifatkan insiden itu memberikan pengajaran terbaik, pelakon yang mula dikenali menerusi drama rantaian, Vanilla Coklat itu kini mula berfikir panjang sebelum melakukan sesuatu.

"Bukan hanya berhati-hati, saya juga perlu berfikir panjang kerana setiap tindakan atau keputusan yang dibuat pasti mempunyai kesannya. Saya mengaku, tindakan saya dulu kurang tepat hingga saya dikecam hebat.


PELAKON, Izara Aishah. - Foto Saifullizan Tamadi

"Semua itu membuka mata supaya tidak terlalu ghairah mengikut arus fesyen. Insiden itu juga menyedarkan saya, ada mata yang memandang dan sentiasa mencari kesilapan diri. Saya anggap itu sebagai teguran daripada Allah supaya tidak leka.

"Saya perlu sedar, saya mempunyai tanggungjawab kepada peminat dan patut memberikan contoh terbaik," katanya.

Mengakui terkilan dengan kekecohan yang berlaku, terutama ketika dirinya sedang berubah ke arah kebaikan, Izara tertanya-tanya apa motif sebenar rakaman video itu disebarkan.

"Saya agak terkejut, mengapa baru sekarang video itu disebarkan sedangkan acara itu berlangsung tahun lalu. Memang saya silap kerana cuai, malah mama dan ayah juga memarahi saya kerana berani berpakaian begitu.

"Sejak itu, saya semakin berhati-hati dalam memilih pakaian untuk digayakan. Siapa pun kita, pasti ingin berubah. Insya-Allah, saya sedang melakukannya perlahan-lahan. Saya juga lebih kenal diri, malah semakin matang dalam setiap tindak-tanduk.

"Alhamdulillah, semuanya sudah semakin baik dan saya juga ingin melupakan cerita lalu," katanya.


IZARA enggan ulangi kesilapan lalu. - Foto Saifullizan Tamadi

Tepis dakwaan 'demanding'

Muncul dengan filem J Revolusi pada Mac lalu, Izara mengakui tawaran beraksi di layar perak agak perlahan meskipun dirinya sentiasa menanti peluang untuk membawakan watak yang mencabar kemampuannya.

"Kebanyakan tawaran lebih terarah kepada telefilem. Saya juga terpaksa melupakan tawaran drama rantaian kerana masih terikat dengan penggambaran Dia. Tidak dinafikan, sebelum ini ada yang menganggap saya sebagai pelakon eksklusif.

"Tidak kurang ada produksi yang tidak berani memberikan tawaran kerana menganggap, saya meletak harga terlalu tinggi. Semua itu hanya andaian. Mengapa tidak bertanya dulu sebelum melabel saya sebagai pelakon 'demanding'?

"Semua ini hanya salah faham kerana saya tidak seperti yang difikirkan. Dalam kerjaya, saya mengutamakan kekuatan jalan cerita dan skrip. Memang bayaran itu penting tetapi banyak faktor lain yang boleh membuat saya bertolak ansur.

"Usah melulu membuat kesimpulan dan jangan takut untuk bertanya kesahihannya," katanya.


IZARA mengakui tawaran beraksi di layar perak agak perlahan meskipun dirinya sentiasa menanti peluang untuk membawakan watak yang mencabar kemampuannya. - Foto Aziah Azmee

Biar Adib yang jawab

Hampir tiga tahun menjalin cinta, ramai yang menanti detik Izara dan kekasih hatinya, Adib Khalid yang juga anak tiri Datuk Siti Nurhaliza bakal diijabkabulkan. Beberapa kali memberikan bayangan, pasangan itu tidak menafikan, mereka bakal melangkah ke jenjang pelamin pada tahun ini.

Ketika persoalan itu ditanyakan kembali kepada Izara yang ditemui pada majlis pelancaran rangkaian kosmetik miliknya, Madame Izara, baru-baru ini mengharapkan semua pihak mendoakan mereka yang terbaik.

"Sama seperti pasangan bercinta lain, saya juga mengharapkan penamat yang indah dalam hubungan kami. Namun, untuk bercerita lebih, rasanya lebih manis jika Adib yang menjawab. Tidak manis jika ia keluar daripada mulut saya," katanya.

Menyentuh mengenai langkahnya dalam dunia perniagaan, Izara berkata, sebagai kempen promosi produk yang diperkenalkan pada 15 Jun lalu, dia akan muncul dengan drama web bersiri Madame's Diary bulan depan.


IZARA akan muncul dengan drama web bersiri Madame's Diary bulan depan. - Foto Aziah Azmee

Info

Izara Aishah

  • Nama sebenar: Izara Aishah Hisham
  • Tarikh lahir: 28 September 1992
  • Umur: 24 Tahun
  • Asal: Bakar Batu, Johor Bahru
  • Adik-beradik: Sulung daripada tiga beradik
  • Darah Campuran: Ayah (Melayu) dan ibu (Pakistan)
  • Pendidikan: Diploma Seni Persembahan, Sunway University College, Bandar Sunway, Selangor

Berita Harian X