Rabu, 12 Julai 2017 | 12:02am
DARI kiri, Rebecca Ilham, Saifullizan, Ariff dan Ainunl Muaiyanah pada sesi perbincangan karya muktahir 3Z, di Galeri Petronas, baru-baru ini.

Tiga pengarang terpenting Malaysia


ZAINAL Rashid Ahmad, Zaen Kasturi dan SM Zakir.

KUALA LUMPUR: "Jika kepengarangan Zainal Rashid Ahmad, Zaen Kasturi dan SM Zakir diibaratkan sebuah kota, Zainal Rashid adalah tukang cerita yang menyambut anda di hadapan pintu.

"SM Zakir adalah sarjana yang akan memberi syarahan demi syarahan sementara Zaen Kasturi adalah pendeta yang duduk di menara tinggi yang hanya akan ditemui mereka yang benar-benar berilmu".

Demikian analogi yang dibuat oleh Editor Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Ainunl Muaiyanah Sulaiman ketika tampil sebagai ahli panel dalam acara Refleksi Kepengarangan dalam Karya Mutakhir 3Z di Galeri PETRONAS, KLCC di sini.

3Z merujuk kepada penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) 2010 dan 2011, iaitu Zainal Palit atau lebih dikenali sebagai Zaen Kasturi; Syed Mohd Zakir Syed Othman (SM Zakir) dan penulis prolifik, Zainal Rashid Ahmad.

Analogi itu memang sangat bijak dan tepat untuk menggambarkan peribadi kepengarangan tiga penulis terpenting 1990-an itu. Tiga kumpulan cerpen yang diperkatakan ialah Pop Urban karya Zainal Rashid; 20 Cerita Tentang Tuhan (SM Zakir) dan Zamindar (Zaen Kasturi).

Ia bukan hanya kumpulan cerpen terbaru mereka, sebaliknya bukti keprolifikan mereka terutamanya SM Zakir dan Zainal Rashid.

Tahun lalu saja, SM Zakir dan Zainal Rashid masing-masing muncul dengan 13 dan 10 cerpen yang terbit di akhbar, majalah dan jurnal.

Sementara itu, Zamindar pula himpunan karya Zaen Kasturi yang sudah diterbitkan tetapi diberi tambah nilai dengan muatan empat cerpen baharu yang belum pernah terbit.

Selain Ainunl Muaiyanah Sulaiman, perbincangan hangat karya mutakhir 3Z anjuran Galeri Petronas itu turut menampilkan Pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Ariff Mohamad dan Timbalan Ketua Editor dan Editor Dewan Sastera, Saifullizan Yahaya.

Sementara itu, Ariff berkata, tiga pengarang terbabit muncul dengan gaya baharu misalnya Zaen Kasturi yang bermula pada 1980-an membawa pemikiran dan nuansa baharu dalam kesusasteraan Melayu.

"Zaen Kasturi misalnya tampil dengan karya penuh falsafah yang mungkin payah difahami pada sekilas pembacaan," katanya.

Keadaan itu menjelaskan mengapa pada awal pembabitannya, Zaen Kasturi sukar menembusi media. Akhbar pertama yang menyiarkan karya Zaen Kasturi adalah BH sebelum diikuti oleh akhbar lain.

Saifullizan pula menyifatkan, Zaen Kasturi gemar bermetafora dalam penulisannya menjadikan karya beliau tampil berfalsafah.

"Namun seperti Zainal Rashid, Zaen Kasturi gemar memecahkan cerpennya menggunakan fragmen yang memudahkan pembacaan," katanya.

Zainal Rashid Ahmad

- Bekas wartawan yang kini terbabit dalam dunia penyiaran, lebih banyak menulis dalam genre cerpen sehingga menghasilkan kumpulan seperti Yang Tercinta, Al-Kisah dan Empunya Hikayat.

- Beliau turut menulis dalam genre puisi termasuk kumpulan Sepi Itu Mati dan novel, Magis Kota.

Zaen Kasturi

- Penyair yang memiliki gaya kepenyairan tersendiri yang utuh dalam dunia puisi tanah air ini, memiliki kumpulan seperti Katarsis, Iga dan 77 Tuju.

- Beliau turut berkarya dalam prosa seperti kumpulan cerpen Yuda dan Rapsodi.

SM Zakir

- Pengarang prolifik dalam pelbagai genre seperti puisi, cerpen dan esei yang merangkumi dunia sastera, seni, filem, politik serta agama.

- Merengkuh Langit, Sekuntum Kembang Di Sayap Jibril, Sekeping Roh di Atas Bantal dan Serigala dan Sekuntum Tulip antara kumpulan cerpen mengukuhkan kedudukannya sebagai cerpenis Malaysia profilik, manakala Aroma serta Perjalanan Sang Zaman meletakkannya dalam ranah puisi tanah air.

Berita Harian X