Khamis, 13 Julai 2017 | 12:06am

Janna Nick tiada masa bercinta

SEJAK akhir-akhir, kontroversi cinta lokasi membabitkan pelakon dan bintang gandingan sering diperkatakan hingga menjadi topik hangat peminat. Namun, bagi bintang meningkat naik, Janna Nick, perkara itu dielak kerana dia memandang serius kerjayanya sebagai anak seni.

Menginjak usia 22 tahun, Janna mengakui dia tidak mahu terbuai dengan kisah percintaan, malah belum bersedia untuk berumah tangga. Sebaliknya pemenang trofi Pelakon Televisyen (TV) Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 3.0 itu hanya memfokus mencari rezeki demi membantu keluarga.

"Buat masa ini, saya tidak ada sebarang perancangan untuk berkahwin. Jadi, buat apa saya mahu membuang masa untuk bercinta sekiranya tidak mempunyai niat mendirikan rumah tangga.

"Sedangkan masa untuk diri sendiri juga tiada, inikan pula hendak memperuntukkan masa untuk bercinta. Jadi, lebih baik ketika ini, saya fokus kepada kerjaya seni saja.


JANNA tidak mahu terbuai dengan kisah percintaan, malah belum bersedia untuk berumah tangga. - Foto Aziah Azmee

"Namun, saya tidak menolak sekiranya sudah tertulis jodoh untuk berkahwin," katanya kepada BH Plus.

Apa yang pasti, kata Janna, ketika ini, dia masih solo dan tidak merancang menamatkan zaman bujangnya.

"Bukan jual mahal tetapi saya rasa usia terlalu muda untuk mencari teman lelaki, seterusnya membina keluarga. Saya tidak mahu hilang fokus kerana mahu menumpukan perhatian terhadap karier termasuk dalam dunia muzik apabila sudah berjinak-jinak merakamkan lagu," katanya yang diminta mengulas pandangannya mengenai cinta dan kekasih.


JANNA masih solo dan tidak merancang menamatkan zaman bujangnya. - Foto Aziah Azmee

Belajar Muay Thai

Bercerita mengenai perkembangan kerjaya, Janna atau nama penuhnya, Nurul Jannah Munner jatuh cinta kepada seni mempertahankan diri, Muay Thai. Tidak hairanlah, Janna memperuntukkan masa pada sebelah malam untuk berlatih.

"Saya perlu menurunkan berat badan untuk drama Coffee Prince arahan Michael Ang yang akan memulakan penggambaran pada 19 Julai ini.

"Biarpun tidak diminta untuk kurus, namun sebagai pelakon, saya lihat kesesuaian watak untuk tampil lebih langsing. Jadi saya mengambil inisiatif menurunkan berat badan dengan mengamalkan pemakanan sihat dan bersenam.


JANNA memperuntukkan masa pada sebelah malam untuk berlatih Muay Thai. - Foto Shiraz Ali

"Secara tidak langsung, saya suka pula mempelajari Muay Thai dan tidak kisah untuk meluangkan membuang peluh pada sebelah malam," katanya.

Janna berkata, kadang-kala dia berlatih Muay Thai pada jam 11 malam kerana sibuk di lokasi penggambaran pada sebelah siang.

"Ketika di bangku sekolah, saya pernah menyertai kelas taekwando, jadi seronok belajar seni mempertahankan diri berasal dari Thailand ini," katanya.

Janna berkata, ketika ini, pasangan gandingannya untuk drama rantaian Coffee Prince beliau belum ditetapkan lagi.

Selain itu, Janna baharu saja selesai menjalani penggambaran Dia iaitu projek kerjasama antara produksi Malaysia dan Indonesia. Dia turut membariskan Irwansyah, Adi Putra, Emma Maembong, Zamarul Hisyam dan ramai lagi.


PELAKON, Janna Nick. - Foto Aziah Azmee

Info :

  • Mula mencipta nama menerusi drama bersiri Syurga Nur yang menggandingkan dirinya bersama Azrel Ismail dan Amar Asyraf.
  • Janna membuat kemunculan sulungnya di layar lebar menerusi filem sulung lakonannya, Kimchi Untuk Awak memegang watak antagonis bernama Zara.
  • Merangkul gelaran Pelakon TV Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 3.0, Mei lalu.

Berita Harian X