;
Selasa, 2 September 2014 | 9:25am

Industri ternakan China diancam H5N6

SHANGHAI: Hampir 18,000 angsa mati di ladang ternakan di timur laut China berikutan jangkitan virus selesema burung H5N6 bulan lalu.

Sejumlah kira-kira 20,550 angsa di ladang Harbin, ibu negeri wilayah Heilongjiang, menunjukkan tanda-tanda selesema burung dan 17,790 mati, menurut Kementerian Pertanian China dalam laman webnya semalam.

Kementerian berkenaan menutup ladang itu dan membersihkannya, selain menghapuskan hampir 69,000 haiwan berkenaan.

Makmal Rujukan Selesema Burung Nasional mengesahkan bahawa angsa berkenaan dijangkiti virus H5N6.

Pada Mei lalu, seorang lelaki 49 tahun di wilayah Sichuan maut akibat jangkitan virus selesema burung H5N6 yang disifatkan oleh media tempatan sebagai manusia pertama di dunia yang diketahui dijangkiti virus berkenaan. - Reuters

48 dibaca
Berita Harian X