Rabu, 24 September 2014 | 10:01am
Gambar fail menunjukkan anggota bomba memantau kebakaran besar di kawasan hutan di Fresh Pond, California pada 17 September lalu. - Foto AFP

California hadapi kebakaran besar 'King Fire'

LOS ANGELES: Kebakaran besar di sini yang dianggap lebih besar daripada saiz Las Vegas dari segi keluasan adalah kejadian terburuk yang pernah berlaku.

Hampir 7,500 anggota bomba bertungkus-lumus memadamkan kebakaran yang dinamakan 'King Fire' itu di timur Sacramento sementara 3,000 orang terpaksa dipindahkan ke tempat lebih selamat.

Setakat ini, hanya 35 peratus saja kebakaran dapat dikawal yang mengancam beribu-ribu bangunan dan rumah.

California kini mengalami kemarau teruk bagi tahun ketiga dengan api marak tinggi berikutan tiupan angin kuat di kawasan hutan.

Kira-kira 95 peratus daripada kebakaran itu dikatakan berpunca daripada manusia sama ada secara tidak sengaja atau disengajakan.

Lima kebakaran kini melanda California, termasuk 'King Fire' itu, yang mula berlaku sejak 13 September lalu.

Ia didakwa sengaja dilakukan di kawasan El Dorado dan sehingga kini sudah membakar 362 kilometer persegi - keluasan yang lebih besar daripada Las Vegas. - AFP

150 dibaca
Berita Harian X