Jumaat, 7 Julai 2017 | 10:50am

Vogue.com puji citarasa fesyen Elfira Loy

KUALA LUMPUR: Pelakon Elfira Loy terharu membaca artikel disiarkan portal fesyen terkenal, Vogue.com yang memuji stail dan citarasanya dalam berfesyen.

Lebih mengejutkan bintang jelita itu, Elfira disamakan dengan penyanyi Amerika Syarikat (AS), Selena Gomez kerana mereka dilihat bijak dalam berfesyen selain memulakan kerjaya seni pada usia muda.

Penulis artikel terbabit, Janelle Okwodu menyifatkan pelakon berkening lebat itu sesuai disamakan dengan Gomez kerana penampilan mereka yang mengikut aliran semasa.

Elfira yang kini intim dengan penyanyi Sufian Suhaimi disifatkan portal itu pandai menyesuai padan gaya dan aksesori biarpun bertudung.

Vogue.com turut memuji beberapa gaya fesyen Elfira yang dimuat naik aktres itu di laman Instagramnya yang kini mempunyai 3.5 juta pengikut.

"Artikel itu ditulis berdasarkan penyelidikan mereka dan rujukan di laman Instagram... Mereka tidak menemubual saya. Jujur saya tak menyangka hal ini.

"Saya terkejut kerana tak percaya ada orang boleh melihat saya begitu sekali terutama dalam soal berfesyen. Malah mereka membandingkan saya dengan Gomez berdasarkan apa yang dilihat. Terima kasih di atas penulisan itu," katanya kepada BH Online.

Antara lain, Vogue.com memuji gaya Elfira ketika mengikuti program kembara jenama produk kecantikan, Caudalie di Seoul.

Ketika itu, Elfira mengenakan gaun berona biru langit dengan sulaman bungaan dipadankan dengan kasut platform berona silver.

Portal fesyen itu juga memuji gaya aktres kecil molek itu ketika menghadiri Anugerah Stail EH!, Mei lalu di mana Elfira tampil dengan gaun black ruffled bertatahkan kilauan kristal rekaan Rizman Ruzaini.

Sementara itu, Elfira mengaku cukup meminati dan mengikuti perkembangan Gomez.

"Sejak kecil lagi, saya meminatinya. Tapi bukan nak jadi macam dia. Saya melihat daripada sudut minat yang lebih luas. Dengan apa yang dilaluinya dari kecil hingga sekarang, dia pandai menjaga diri untuk terus kekal relevan dalam industri hiburan.

"Saya sendiri melihat contoh itu sebagai rujukan untuk mengemudi langkah sendiri.

"Ada sesetengah artis antarabangsa yang bakat mereka ditonjol sejak kecil mula memberontak ketika meningkat dewasa. Sebagai contohnya, Miley Cyrus.

"Sebaliknya, dia (Gomez) bijak dan tak cepat melatah. Dia juga aktif dengan kerja amal. Contoh dan nilai positif yang ada dalam dirinya saya jadikan panduan untuk terus maju," katanya.

932 dibaca
Berita Harian X