Rabu, 20 September 2017 | 9:00am
PENAMPILAN segar selebriti dengan pelbagai fesyen eksklusif keluaran rumah fesyen ternama menjadi rujukan Siska dalam merancang gayanya. - Foto Nik Hariff Hassan

Tiru fesyen melancong selebriti Hollywood

PENAMPILAN selebriti tidak pernah gagal memukau mata, walaupun bergaya santai termasuk ketika bercuti ke destinasi tertentu.

Gaya anggun dan glamor bermula saat menunggu giliran menaiki kapal terbang, bersantai di hotel dan pusat peranginan mewah, bercanda di tepian pantai dan bersiar-siar menikmati pemandangan indah.

Selebriti Hollywood seperti Selena Gomez dan Victoria Beckham sering kali dilihat tampil menawan dan mempesonakan dalam apa juga keadaan.

Justeru, kalangan pemerhati fesyen dan peminat setia selebriti Hollywood, ternanti-nanti pakaian disarungkan selebriti pujaan.

Meskipun, tidak menyarung gaun seperti di permaidani merah, sepasang jeans santai paras lutut, dipadankan dengan kemeja tanpa lengan dan kardigan labuh mampu menyerlahkan penampilan dan dilihat cukup sempurna.

Ilham fesyen ringkas namun pada masa sama mengekalkan pesona seorang bintang, menjadi ikutan generasi muda kini yang juga mahu tampil bergaya ketika melancong.

Victoria Beckham, vokalis kumpulan rock, No Doubt, Gwen Stefani, personaliti realiti TV, Kylie Jenner antara selebriti sering mencuri perhatian lensa kamera dengan penampilan anggun dari hujung rambut hingga hujung kaki.

Meninggalkan kelaziman beg galas, mereka mengekalkan aura glamor dengan membimbit beg berjenama, sepatu stiletto bertumit enam inci, kaca mata besar, legging motif flora dan pelbagai lagi gaya yang menggegarkan dunia fesyen

Gaya selebriti terbabit menjadi ikutan pencinta fesyen tempatan.


SISKA menjadikan idolanya, Victoria Beckham, sebagai panduan dalam memilih pakaian bersesuaian ketika melancong. - Foto Nik Hariff Hassan

Pereka fesyen dan pemilik butik tempatan, Precious By Siska, Darwennah Siska atau mesra disapa Siska menjadikan idolanya, Victoria Beckham, sebagai panduan dalam memilih pakaian bersesuaian ketika melancong.

Mengagumi gaya klasik dan anggun isteri kepada bekas bintang bola sepak Real Madrid, David Beckham, Siska melaram dengan kasut tumit tinggi dan kaca mata besar hampir menutupi suku wajah yang menjadi identiti selebriti itu.

"Saya tertarik dengan gaya padanan kasut dan tas tangan pilihannya. Victoria yakin menyarungkan kasut tinggi bertumit halus yang dipadankan bersama gaun pensel dan bagi perjalanan lasak, dia menggayakan jeans bell bottom," katanya yang turut mempunyai satu dua koleksi pakaian dan aksesori seperti dimiliki bekas anggota Spice Girls itu.

Terlalu meminati kaca mata Victoria, Siska gemar mengunjungi kedai aksesori dan butik di sekitar London semata-mata mencari rekaan yang sama.

Berbeza Victoria yang saling berganti beg tangan bersesuaian tema baju, saya memilih beg untuk disesuaikan dengan sebarang gaya, tempat dan majlis," katanya yang tidak meninggalkan beg silang jenama Bvlgari, Emilio Pucci, Valentino, Dior dan beg sandang keluaran khas Coach setiap kali bercuti.


SISKA memilih beg untuk disesuaikan dengan sebarang gaya, tempat dan majlis. - Foto Nik Hariff Hassan

Beg sandang dan silang digayakan sewaktu bersiar-siar dan meneroka tempat menarik manakala beg genggam untuk acara makan malam istimewa.

"Ketika bersiar-siar, saya memilih beg bersaiz sederhana menampilkan rekaan ranggi selain 'classy'. Bagi mengisi segala pakaian dan kelengkapan, saya memilih mengheret beg troli ringan," katanya.

Penampilan segar selebriti dengan pelbagai fesyen eksklusif keluaran rumah fesyen ternama menjadi rujukan Siska dalam merancang gayanya.

Lazimnya untuk seminggu percutian, Siska membawa lima pasang seluar dan lima pasang baju digandingkan bersama.

"Saya tidak suka mengulangi pakai baju yang sama kerana mahu mencipta kenangan dan foto menarik. Saya tertarik dengan salah satu gambar percutian Selena Gomez yang menampilkan dia bergaya dengan pakaian warna blok di samping beg tangan berlatar warna kontras.

"Saya mengagumi naluri fesyennya yang gemar tampil berbeza setiap kali kemunculannya di khalayak ramai," katanya.


SISKA memilih topi lebar bersama kaca mata hitam khusus melindungi wajah dan mata daripada terik cahaya matahari. - Foto Nik Hariff Hassan

Menyempurnakan gaya, Siska memilih topi lebar bersama kaca mata hitam khusus melindungi wajah dan mata daripada terik cahaya matahari.

"Gaya ini selalu saya tonjolkan ketika berada di destinasi pantai dan negara bercuaca panas seperti Thailand, Filipina dan Cambodia. Berbeza di negara beriklim sejuk yang memerlukan saya menyarungkan jaket penebat haba, trench coat dan baju panas turtle neck," katanya.

2246 dibaca
Berita Harian X