Sabtu, 14 Oktober 2017 | 9:00am

Padzilah pelopor industri fesyen telekung

KUALA LUMPUR: Lapan tahun lalu, wanita Muslimah di negara ini tidak pernah kisah dan terdedah dengan kepentingan pemakaian telekung berharga mahal.

Apatah lagi minda masyarakat menganggap telekung cuma dipakai untuk bersembahyang saja, mengapa perlu beli mahal, harga RM20 sudah memadai.

Lantas fungsi telekung cukup cuma sebagai melengkapkan solat dan wanita pula tidak kisah telekung disarungkan rasa kurang selesa, longgar pada wajah, fabrik panas dan dikongsi beramai-ramai dalam satu keluarga.

"Saya lihat itulah mentaliti wanita mengenai telekung. Tumpuan dan kegemaran mereka ialah lebih elok beli aksesori, baju, tas tangan dan kasut berjenama mewah.

"Situasi itu membuatkan saya nekad mengubah persepsi, semua wanita sepatutnya memiliki sepasang telekung selesa untuk bersolat dan tidak kisah berbelanja dan beli yang premium," kata Pengasas Telekung Siti Khadijah (SK), Padzilah Enda Sulaiman, 54.

Kemunculan Padzilah yang asalnya suri rumah sepenuh masa dan hanya berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), membuktikan wanita mampu melangkah jauh menggegar serta menakluk dunia dalam pelbagai cara.

Berkat kesungguhan dan semangat juang tinggi, wanita berperwatakan lembut tapi tegas ini, berjaya sebagai usahawan hebat, malah kewibawaannya amat dibanggakan apabila menjadi pelopor dalam memartabatkan industri fesyen Muslimah tempatan pada tahap lebih tinggi.

Padzilah wajar dinobatkan sebagai tokoh fesyen Muslimah bagi mengangkat industri telekung yang sebelum ini suram, pada status kedudukan tersendiri.

SK adalah jenama telekung pertama di negara ini, yang mencetuskan semangat lebih ramai usahawan lain menceburi industri sama.

"Saya mahu mendidik, mengubah minda dan persepsi masyarakat khususnya wanita Muslimah menggunakan telekung yang benar-benar selesa untuk beribadah," katanya.


PENGASAS Telekung Siti Khadijah, Padzilah Enda Sulaiman. - Foto Rosela Ismail

Telekung harga premium jadi fenomena

Hasil kerja keras sejak 2009, Padzilah berjaya meletakkan telekung setanding dengan busana Muslimah lain dari segi permintaan, harga, kualiti dan keselesaan.

Lantas, menjadikan SK sebagai satu-satunya jenama telekung tempatan terawal yang direka sebegitu rupa dan didaftarkan di bawah reka bentuk industri Perbadanan Harta Intelek Malaysia (myIPO).

"Selepas saya hasilkan telekung harga premium dengan kualiti terbaik, ramai usahawan tempatan dan luar negara melakukan perkara sama," katanya.

Sebelum jenama ini di pasaran, tidak ada satu pun telekung berjenama dijual di negara ini kerana ramai menganggap telekung bukan keperluan utama.

Hari ini, beliau gembira kerana sudah menjadi inspirasi kepada usahawan telekung tempatan dan luar negara seperti Indonesia, Vietnam dan di Asia Barat.

"Malah ia juga turut meraih perhatian Barat bagi menampilkan rekaan telekung berjenama dan selesa dibawa solat," katanya.

Aplikasi kemahiran menjahit

Bukan mudah menempa kejayaan itu, pelbagai onak dan duri dilalui sebelum mencapai pada tahap membanggakan ini.

Beliau pernah melalui fasa kesukaran dan hampir putus asa apabila 200 helai telekung jahitan sendiri tidak terjual sehinggalah dibantu media untuk promosi produk.

Duit simpanan bersama suaminya, Aminuddin Mohd Nasir, dimulakan dengan modal RM10,000 digunakan untuk membeli fabrik bermutu tinggi.

Beliau mengakui apabila kurang ilmu dalam bidang perniagaan, ia agak sukar untuk berjaya. Pelbagai cara diusahakan untuk meyakinkan masyarakat mengenai kepentingan telekung dalam sebagai pakaian untuk beribadat.

"Siapa hendak beli telekung harga premium kerana pada masa itu, masyarakat tidak ada lagi telekung berjenama atau dijual dengan harga mahal," katanya.

Usaha keras akhirnya berbaloi apabila pada tahun sama, jenama beliau diperkenalkan menerusi media cetak dan elektronik sehingga tidak cukup tangan untuk melayan permintaan pelanggan.

"Harga telekung ini serendah RM129 sehingga lebih RM1,000. Tapi ramai pelanggan suka beli yang harga RM250 ke atas kerana mahukan kualiti bagus dan rekaan yang minimal," katanya.

Kini kilang SK di Bangi, menghasilkan 1,700 pasang telekung sehari dan mensasarkan 3,000 pasang sehari, dalam tempoh terdekat ini.


PENGASAS Telekung Siti Khadijah, Padzilah Enda Sulaiman. - Foto Rosela Ismail

Bukti suri rumah mampu berjaya

Padzilah, yakin pemahaman tinggi terhadap pemasaran dan strategi perniagaan membantu mengekal dan memperkukuh legasi perniagaan dijalankan usahawan.

Wanita seharusnya berkeupayaan mengkaji trend pemasaran, kehendak pengguna dan merancang strategi tepat perniagaan, selain melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D).

"Saya bermula sebagai suri rumah kepada enam anak lelaki pada usia 46 tahun. Tiada apa yang terlewat selagi ada usaha dan mahu mencuba.

" Cuma kita perlu ada identiti dan lahirkan produk berbeza daripada sedia ada. Keberanian juga mesti ada dalam diri usahawan untuk cuba perkara baru ," katanya.

Tetap kekal identiti

Kemunculan banyak jenama dan rekaan, tidak menganjak pendirian beliau untuk mengubah identitinya.

"Kami tetap teguh dengan matlamat memberi keselesaan, kualiti fabrik dan rekaan ringkas tetapi praktikal.

"Lambakan telekung boleh didapati dari Indonesia dan Vietnam yang sarat dengan warna-warni, perhiasan manik dan rekaan bermotif bunga, tetapi kita tetap tampil yakin dengan kesederhanaan," katanya.

Ciplak reka bentuk

Mengenai isu ciplak dan meniru rekaan telekung jenamanya, beliau menganggap ia adalah fenomena khusus pada jenama kukuh .

"Sudah menjadi lumrah, jenama yang melahirkan produk berkualiti sering menjadi mangsa pihak tidak bertanggungjawab. Saya melihat ia dari sudut positif kerana setiap hari kita tidak menang tangan mengeluarkan telekung," katanya.


PADZILAH berjaya meletakkan telekung setanding dengan busana Muslimah lain dari segi permintaan, harga, kualiti dan keselesaan. - Foto Rosela Ismail

Inspirasi isteri Nabi Muhammad

SK dipilih kerana terlalu menyanjungi isteri Nabi Muhammad SAW, Saidatina Siti Khadijah.

Figura isteri nabi begitu hebat, memiliki kesempurnaan sebagai wanita Islam sejati iaitu bijaksana, bijak berniaga, jujur, berhemah dan memiliki sifat terpuji selari dengan matlamat perniagaannya yang bukan berorientasi keuntungan semata-mata.

"Siti Khadijah adalah inspirasi wanita Muslimah. Jadi, saya sematkan nama indah itu pada jenama telekung ini selari dengan niat untuk berniaga sambil menyebarkan ilmu kepenggunaan ," katanya.

Beliau bukan saja berperanan sebagai usahawan tetapi mempunyai matlamat untuk membantu wanita di negara ini memiliki pendapatan sendiri .

"Saya turut berkongsi rezeki dengan ibu tunggal dan penduduk tempatan di negara ini yang memerlukan pekerjaan.

"Sehinggakan, ada keluarga yang bekerja di sini terdiri daripada ibu tunggal.

"Ramai pekerja saya bermula sebagai tukang jahit kini menjadi pengurus jualan kerana saya mahu mereka berada di tahap lebih baik dengan memberi peluang kerjaya di syarikatnya," katanya.


PENGASAS Telekung Siti Khadijah, Padzilah Enda Sulaiman. - Foto Rosela Ismail

Profil
Padzilah Enda Sulaiman

Umur: 54 tahun

Asal: Sungkai, Perak

Anak: Enam orang (semua lelaki dan bekerja di SK).

Pendidikan: Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)

Jawatan: Pengarah Eksekutif dan Pengasas Siti Khadijah Apparel Sdn Bhd

Pencapaian:

  • Anugerah Pemasaran Digital -Bank Islam - Utusan Shariah SME Award 2017
  • Anugerah Perdana Bank Islam - Utusan Shariah SME 2017
  • Anugerah Usahawan Wanita ( E50 2016)
  • Berjaya menempa nama di Asia, Eropah dan Asia Barat
731 dibaca
Berita Harian X