Ahad, 22 Oktober 2017 | 10:21pm

Minggu Fesyen Malaysia ketengahkan kreativiti rentas sempadan


PERTUNJUKAN fesyen pada Minggu Fesyen Malaysia 2017. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

KUALA LUMPUR: Penganjuran Minggu Fesyen Malaysia (MFW) 2017, menjadi platform terbaik kepada pereka fesyen dan peserta industri itu melebarkan sayap menampilkan kreativiti masing-masing merentasi sempadan.

MFW 2017 dianjurkan Stylo International Sdn Bhd dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE)

berlangsung selama lima hari bermula 18 Oktober bertemakan 'Art Beyond Fashion' - The Capsule Collection.

Acara gilang-gemilang itu melabuhkan tirainya di Publika di sini,  menerusi pementasan fesyen dari 12 kota raya termasuk Taipei, Seoul, Shanghai, Tokyo, London dan Paris, yang memaparkan rekaan unik, sejajar permintaan pasaran fesyen semasa.

Selain pementasan fesyen, antara acara menarik sepanjang MFW 2017 adalah pameran Galeri My Tribute to Diana oleh pereka kasut terkenal, Datuk Prof Dr Jimmy Choo, yang mempersembahkan koleksi kasut terakhir yang direka khas untuk mendiang Puteri Diana.

MFW 2017 turut dihadiri ikon fesyen, selebriti, usahawan dan pembeli antarabangsa yang rata-rata terbabit dalam industri berkenaan.

Pada tahun ini, MFW 2017 turut menumpukan peluang perdagangan bagi penggiat industri fesyen untuk keluar dari zon selesa.


PERTUNJUKAN fesyen pada Minggu Fesyen Malaysia 2017. - Foto Nurul Syazana Rose Razman


PERTUNJUKAN fesyen pada Minggu Fesyen Malaysia 2017. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

INFO: MFW 2017

  • Mengetengahkan pelbagai koleksi menarik untuk lelaki, wanita, tekstil dan aksesori
  • Menghimpunkan bakat kreatif seluruh Asia
  • Turut melancarkan Fobulosity in Modesty bagi koleksi Muslimah moden
465 dibaca
Berita Harian X