Selasa, 31 Oktober 2017 | 3:34pm
ANTARA koleksi Rico Rinaldi Bridal 2018.

Koleksi 10 tahun busana perkahwinan

KUALA LUMPUR: Sedekad di persada industri fesyen tempatan, idea

kreatif pereka fesyen, Rico Rinaldi (Rico) untuk setiap koleksi busana tidak pernah mengecewakan.

Koleksinya boleh diterima khususnya dalam kalangan pencinta fesyen yang mahu mencari kelainan dan memahami naluri mereka untuk tampil anggun, eksklusif serta gaya tersendiri.

Baru-baru ini, tampil dengan koleksi busana perkahwinan dinamakan, Rico Rinaldi Bridal 2018, A Dress To Remember bersempena penganjuran Kuala Lumpur Wedding Festival, di Hotel Premiera baru-baru ini, menyerlahkan kreativitinya.

Istimewanya, Rico mengetengahkan rekaan popular sepanjang 10 tahun pembabitannya yang mendapat sambutan dan paling laris.

Beliau berkata, koleksi itu mengekalkan elemen tradisional dalam manipulasi fabrik songket Terengganu, renda Perancis dan sifon.

"Koleksi ini menampilkan 10 rekaan terbaharu yang bermain dengan potongan polos dan ringkas, namun masih mengekalkan signatur perincian mewah dan eksklusif. Tiga daripadanya berasaskan fabrik songket Terengganu.

"Setiap rekaan ini bersifat timeless dan menyerlahkan personaliti bakal pengantin. Seperti mana kebiasaan, kebanyakan rekaan saya berbeza-beza bagi setiap pelanggan," katanya.

Rico Rinaldi Bridal 2018, A Dress To Remember adalah koleksi pengantin kelima sejak 2004 sepanjang 10 tahun Rico beroperasi.

Koleksi itu mengekalkan warna asas putih, kelabu dan 'nude' yang sesuai untuk pelbagai pilihan majlis termasuk pertunangan, pernikahan hingga ke hari persandingan.

229 dibaca
Berita Harian X