Khamis, 2 November 2017 | 7:19pm
AHEDA Zanetti.
AHEDA Zanetti bersama koleksi rekaan pakaian mandi sopan.
MODEL Salwa Elrashid mengayakan burqini rekaan Aheda Zanetti di Sydney, Australia. - Foto REUTERS

Pakaian mandi sopan dapat sambutan

KUALA LUMPUR: Pasaran pakaian mandi sopan atau Burqini mendapat permintaan tinggi dalam kalangan wanita Muslimah dari seluruh dunia.

Pereka fesyen dari Ausralia, Aheda Zanetti, berkata jenama pakaian Burqini, iaitu Ahiida mendapat sambutan menggalakkan apabila 700,000 helai sudah terjual sejak diperkenalkan pada 2005.

Katanya, kejayaan itu menggambarkan pakaian berkenaan mempunyai pasaran yang begitu besar.

"Pencapaian membanggakan itu juga membuktikan pakaian renang wanita mampu memberikan pulangan lumayan.

"Pada peringkat awal, beliau menghadapi cabaran untuk mempelbagaikan saiz tubuh wanita.

"Pakaian renang tidak sama seperti baju harian kerana material berbeza, iaitu ringan dan selesa tetapi kemas. Padanan warna sesuai menjadi elemen utama tarikan pembeli," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Pelancaran Pameran 'Faith Fashion Fusion : Gaya Wanita Muslim di Australia', di Muzium Kesenian Islam, di sini hari ini.

Pameran bermula hari ini sehingga 28 Januari depan itu menampilkan 14 pereka wanita dari Australia yang terbabit dalam industri fesyen dan gaya hidup.

Pameran itu dirasmikan oleh Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup; Pengarah Muzium Kesenian Islam, Syed Mohamad Al Bukhary dan Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Rod Smith PSM.

Aheda yang turut menyertai pameran itu berkata, beliau mula menjual pakaian berkenaan secara kecil-kecilan dan membuat promosi menerusi internet.

"Kuasa internet sangat berpengaruh. Saya memiliki rangkaian pembeli di seluruh dunia khususnya dari negara Islam," katanya.

Kurator Museum of Applied Arts & Sciences (MAAS) Sydney, Glynis Jones, berkata pereka wanita Australia memiliki bakat dan karya bernilai komersial.

Katanya, walaupun pasaran di negara berkenaan dilihat tidak sebesar penganut Islam di negara ini, tetapi medium internet digunakan

mereka dalam memasarkan produk sangat membanggakan.

"Kira-kira 30 pereka Muslim ada di Sydney. Mereka menggunakan jaringan internet untuk mengembangkan perniagaan," katanya.

Glynis berkata, penyertaannya dan rakannya senegaranya dianggap sebagai platform untuk memperkenalkan pereka wanita Muslimah dari Australia di pentas global.

"Kami memilih Kuala Lumpur sebagai destinasi kerana negara ini moden dan memiliki gaya fesyen sopan dan menarik," katanya.

Terdahulu, Mohamed Nazri, berkata pameran berkenaan memberi peluang kepada Malaysia-Australia mengenali lebih dekat perkembangan dunia fesyen masing-masing.

"Hubungan baik antara dua-dua negara jiran ini seharusnya dimanfaatkan bersama," katanya.

Rod Smith berkata pameran itu mempersembahkan kepelbagaian dan keterbukaan masyarakat berbilang kaum di Australia, selain kejayaan industri kreatif di negara itu.

465 dibaca
Berita Harian X