Jumaat, 3 November 2017 | 7:00am

Neelofa cipta aura hingga ke global


NEELOFA pada majlis pelancaran koleksi terbaharu keluaran Naelofar Hijab dan Helena Bakery. - Foto Eizairi Shamsudin

KUALA LUMPUR: Jika dulu wanita bertudung sering dikaitkan dengan imej kolot dan tidak pandai bergaya, jauh sekali diangkat menjadi idola fesyen mahupun duta produk.

Peredaran zaman menjadikan berhijab bukan lagi halangan wanita berfesyen, malah sudah ada diangkat sebagai duta biarpun membawa imej bertudung dengan gaya mereka tersendiri.

Paling membanggakan penampilan sopan tetapi masih selari dengan fesyen semasa turut mendapat perhatian produk jenama mewah antarabangsa yang mula mengangkat wanita berhijab sebagai duta rasmi mereka.

Pengasas yang juga pengarah NH Prima International, Noor Neelofa Mohd Noor, 28, atau lebih dikenali sebagai Neelofa adalah antara yang mendapat pengiktirafan antarabangsa berkenaan.

Malah, beliau satu-satunya wanita berhijab dari Asia yang terpilih sebagai jurucakap produk terkemuka dunia.

Aktres yang terkenal menerusi drama bersiri Suri Hati Mr Pilot itu berkata, beliau sendiri tidak pernah menyangka penampilan yang dibawanya mampu mengubah stereotype dan pandangan masyarakat luar sehingga memilih dirinya menjadi duta barangan kosmetik antarabangsa, Lancome.


NEELOFA menerangkan cara pemakaian hijab terbaharu keluaran Naelofar Hijab. - Foto Eizairi Shamsudin

Katanya, pemilihannya memberikan persepsi berbeza wanita tempatan juga mempunyai kelas yang tersendiri dan mampu mendapat tempat di peringkat antarabangsa untuk membawakan imej mewah dan berjenama.

"Melihatkan layanan yang diberikan kepada saya ketika lawatan ke Paris baru-baru ini jelas menunjukkan bahawa mereka amat mengalu-alukan saya yang mewakili wanita dari Malaysia, beragama Islam dan berhijab.

"Ia adalah perkara besar kerana saya bukan sekadar membawa imej sendiri tetapi juga agama, budaya dan negara bersama ketika ke Paris untuk memenuhi undangan Lancome berkenaan," katanya yang berkongsi pengalaman berkenaan, baru-baru ini.

Beliau berkata demikian sempena majlis pelancaran koleksi terbaharu keluaran Naelofar Hijab dan Helena Bakery yang dilancarkan seiring dengan drama bersiri, Red Velvet yang sedang disiarkan menerusi Astro Ria.

Neelofa berkata, beliau juga tidak menyangka kejayaan syarikatnya mengubah gaya hidup dan persepsi masyarakat mengenai fesyen berhijab mendapat perhatian sehingga diundang ke sidang kemuncak Forbes Under 30 yang diadakan di Boston, Amerika Syarikat (AS) pada bulan lalu.

"Saya diberikan masa 10 minit untuk berkongsi mengenai Fashioning the Future yang banyak mendedahkan bagaimana saya mendapat inspirasi daripada berhijab dan mengembangkannya sebagai satu perniagaan.


ANTARA koleksi terbaru Naelofar Hijab. - Foto Eizairi Shamsudin

"Dalam sesi itu saya berkongsi bagaimana perniagaan yang diceburi turut mengubah persepsi masyarakat terhadap pemakaian tudung yang sebelum ini sering dikaitkan dengan imej kolot dan tidak pandai untuk bergaya," katanya.

Sementara itu, Naelofar Hijab terus meneruskan dominasi industri fesyen dengan melancarkan enam rekaan terbarunya menerusi Koleksi Helena.

Rekaan yang diinspirasikan daripada watak Helena, lakonannya dalam drama Red Velvet memaparkan pelbagai pilihan daripada instant hijab, shawl dan skaf.

Enam rekaan itu adalah Sweet Helena, Sweet Helena Swarovski, Fulffy Helena, Milky Helena, Creamy Helena dan Silky Helena.

Menariknya koleksi Helena turut tampil dengan perincian Swarovski Xillion Rose, potongan kristal terkini untuk menyerlahkan lebih kilauan berbanding kristal lain.


NEELOFA menunjukkan kek cawan daripada Helena Bakery. - Foto Eizairi Shamsudin
2336 dibaca
Berita Harian X