Sabtu, 25 November 2017 | 7:33am
KOLEKSI terbaharu "Women's Wear 2018" rekaan Rico Rinaldi sempena sambutan 10 tahun Rico Rinaldi di Plaza Damas. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
KOLEKSI terbaharu "Women's Wear 2018" rekaan Rico Rinaldi sempena sambutan 10 tahun Rico Rinaldi di Plaza Damas. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Inspirasi fesyen 80-an, curi tumpuan

KUALA LUMPUR: Mengambil inspirasi gaya ibunya, di sekitar 80-an, pereka fesyen, Rico Rinaldi menampilkan 38 koleksi terbaharu pada sesi pertunjukan fesyen bertempat di Plaza Damas, baru-baru ini.

Kekal eksklusif, tema lakaran koleksi Rico Rinaldi Women's Collection 2018 mencuri tumpuan menerusi garapan perincian manik dan labuci mewah sering menjadi identiti pereka itu.

Kali ini, Rico yang juga pemenang Anugerah Piala Seri Endon 2009 mempersembahkan 38 pilihan gaya 1980-an dilengkapi kemeja longgar, skirt paras buku lali, jaket dan gaun labuh.

Koleksi turut diketengahkan sempena sambutan 10 tahun beliau dalam industri itu dengan menonjolkan rekaan longgar cetakan corak bersaiz besar.


KOLEKSI terbaharu "Women's Wear 2018" rekaan Rico Rinaldi sempena sambutan 10 tahun Rico Rinaldi di Plaza Damas. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Kata Rico, pengalaman dalam industri rekaan kreatif banyak mendidik dirinya terus menjadi pereka fesyen tempatan relevan dengan permintaan semasa.

Katanya, sempena ulang tahun ke 10 Rico Rinaldi beliau turut mengumumkan pembukaan cawangan baharu bagi memudahkan akses pelanggan di sekitar ibu kota.

"Saya berpegang pada prinsip saya iaitu menjaga kualiti dan eksklusif terhadap setiap rekaan diketengahkan bagi memberikan kepuasan setiap pencinta fesyen.

"Pemilihan lokasi strategik ini memudahkan pelanggan dari ibu kota berkunjung ke butik Rico Rinaldi, selain sedia ada di  Bangi Sentral, Bandar Baru Bangi," katanya pada sesi pertunjukan fesyen di sini, baru-baru ini.

Koleksi itu sudah berada di pasaran mengetengahkan, kelainan menerusi warna pudar, pastel dan kusam seperti biru telus dan hijau muda.

Pemilihan fabrik seperti sifon, kapas dan linen pula menjadi asas kepada setiap rekaan dihimpunkan kali ini.

272 dibaca
Berita Harian X